Home Pertahanan dan Keselamatan Wira PGB Sarjan Mejar Apot meninggal dunia

Wira PGB Sarjan Mejar Apot meninggal dunia

by Zaki Salleh

KAMPAR, 14 Sept – Negara kehilangan wira lagenda penerima darjah kepahlawanan Panglima Gagah Berani (PGB) apabila menerima berita duka pemergian Sarjan Mejar bersara Apot Saat.

Berita sedih ini sangat mendukacitakan dalam negara masih ketika meraikan bulan kemerdekaan dan bakal menyambut Hari Malaysia.

Mendiang meninggal dunia pada usia 78 tahun setelah mengalami sesak nafas akibat jangkitan pada paru-paru.

Wira VAT 69 Komando yang juga penjejak (tracker) lagenda Senoi Praaq itu meninggal dunia pada awal pagi Sabtu semasa dirawat di Hospital Kampar.

Mendiang Sarjan Mejar Apot sebelum ini dalam keadaan keuzuran setelah diserang angin ahmar pada April lalu.

Akibat serangan angin ahmar, mendiang mengalami strok pada bahagian kepala dan tangan kiri.

Sepanjang tempoh tersebut mendiang yang dijaga ahli keluarga di kediamannya di Kampung Batu Berangkai, Kampar tidak boleh bercakap dan membuka kelopak mata.

Ingatan terhadap beliau tidak luntur apabila sering menerima lawatan ziarah daripada kepimpinan Polis Diraja Malaysia, VAT 69 dan persatuan veteran polis.

Difahamkan, jenazah mendiang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Batu Berangkai, Kampar.

Kemahiran Apot sebagai penjejak sangat digeruni kerana beliau mampu membezakan jejak pasukan keselamatan dengan pengganas komunis.

Penyertaan beliau dalam operasi membawa kepada beberapa siri kejayaan dalam menghancurkan kubu kuat komunis ketika itu.

Difahamkan, ini termasuk menembak mati 5 pengganas komunis.

Dalam satu operasi di Bentong, Pahang pada awal 80an, pasukannya telah menyerang hendap khemah musuh hasil penjejakan yang dilakukan menyaksikan lapan pengganas komunis tewas.

Kepakarakan Apot turut diiktiraf pasukan keselamatan luar negara untuk berkongsi kepakarannya dengan komando Australia Special Air Service Regiment serta New Zealand Special Air Service.

Apot, anak kelahiran Kampung Lata Kinjang, Chenderiang, Perak memulakan kerjaya polis pada 4 Ogos 1968 apabila menyertai Senoi Praaq.

Setahun kemudian beliau diserapkan ke dalam 69 Komando sebagai tracker.

Mendiang yang berketurunan Semai dianugerahkan darjah kepahlawanan PGB oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong pada 1 Jun 2013.-airtimes.my

#keselamatan #airtimes #VAT69 #SenoiPraaq #PDRM #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply