TEMERLOH, 14 Sep – PAS menafikan dakwaan mempunyai kaitan dengan kumpulan perniagaan, GISB Holdings (GISBH) yang didakwa menjalankan aktiviti mengeksploitasi dan penderaan kanak-kanak.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali, selain menegaskan tiada penglibatan ahli parti dalam kumpulan itu.
“GISB tidak ada hubungan dengan kita (PAS) langsung, walaupun beberapa media antarabangsa mengaitkannya (dengan kes GISBH), itu satu berita yang tidak betul, yang salah,
“Tiada dan bukan ahli kita, tidak ada kaitan dengan kita. Itu perlu (kepada) siasatan polis,” katanya selepas merasmikan Muktamar PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, pada Sabtu.
Pada Rabu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan, berdasarkan risikan dan keterangan yang diperoleh, mangsa di beberapa rumah amal kelolaan GISB diajar meliwat, seterusnya diliwat oleh penjaga.
Mereka juga dilaporkan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi menjelaskan, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Biar polis siasat. Kita tunggu siasatan polis,” ujarnya ringkas.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, parti berkenaan akan sentiasa memastikan kejadian seperti itu tidak berlaku di tadika Islam kelolaan PAS iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).
“Dalam PAS, insya-Allah kita terkawal. Kita ada lajnah, jawatankuasa untuk mengawal. Pentadbiran kita sendiri, dengan pihak lain, kita tiada hubungan,” ujarnya lagi.
Terdahulu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati 13 penghuni rumah kebajikan yang bernaung di bawah syarikat GISBH dipercayai telah menjadi mangsa liwat.
Serbuan mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.-airtimes.my
#PDRM #GISBH #rumahamal #penderaan #airtimes #semasa