Home Pertahanan dan Keselamatan Istiadat Mengarak Panji-Panji lambang kemegahan, kesetiaan ATM

Istiadat Mengarak Panji-Panji lambang kemegahan, kesetiaan ATM

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 14 Sept – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, hari ini.

Sempena istiadat ini sebanyak 5 Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong diarak oleh kontinjen dari ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Armor Diraja (KAD) di samping Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut dengan alunan lagu Negaraku, disusuli formasi terbang lintas hormat 5 pesawat ATM yang membawa Jalur Gemilang, Bendera ATM, TDM, TLDM dan TUDM yang diketuai Mejar Mohd Fazruzaman Md Faril TUDM.

Sebanyak 21 das tembakan kehormatan turut dilepaskan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memeriksa perbarisan yang terdiri 25 pegawai dan 503 anggota dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM diketuai Pegawai Memerintah Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Muhammad Firdaus Sa’ad. Foto: AirTimes/N.Huda

Sultan Ibrahim kemudiannya memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 57 pegawai dan 847 anggota ketiga-tiga cabang-cabang perkhidmatan ATM diketuai Pegawai Memerintah Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD)
Kolonel Muhammad Firdaus Sa’ad.

Panji-Panji adalah suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen/Kor dari Perkhidmatan Tentera Darat, Perkhidmatan Tentera Laut dan Perkhidmatan Tentera Udara.

Ia merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat serta ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap Raja dan Negara.

Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, diarak untuk diperkenalkan kepada perwira dan perajurit Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.Foto: AirTimes/N.Huda

Istiadat Mengarak Panji-Panji diadakan 3 kali dalam tempoh 5 tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.

Turut hadir pada istiadat tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Fadillah Yusof; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Bin Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.-airtimes.my

#pertahanan #DaulatTuanku #PanjiAgong #panjipanji #ATM #Putrajaya #airtimes

Related Articles

Leave a Reply