Home Pertahanan dan Keselamatan Agong tunai solat Jumaat, dengar khutbah khas sempena Hari ATM ke-91

Agong tunai solat Jumaat, dengar khutbah khas sempena Hari ATM ke-91

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke khutbah khas dan menunaikan solat Jumaat sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-91 di Masjid Khaled bin Al-Walid, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Islandar, khutbah khas sempena Hari ATM ke-91 bertajuk ‘Angkatan Masa Hadapan: Benteng Pertahanan Negara’ telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Kor Agama ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Rashidi Bujai.

Khutbah berkenaan menyeru warga ATM mempamerkan ketaatsetiaan dalam mendukung amanah mempertahankan kedaulatan, keutuhan wilayah dan kepentingan negara Malaysia.

Selain itu, khutbah turut menyeru warga ATM menetapkan tekad untuk melaksanakan agenda transformasi ATM agar pembentukan Angkatan Masa Hadapan menjelang tahun 2030 melalui inisiatif Reformasi Angkatan 30 dapat direalisasikan.

Intipati khutbah itu juga menyeru supaya kemerdekaan dan kedaulatan negara bersama-sama dipertahankan rakyat negara ini selari dengan gagasan Angkatan Masa Hadapan dalam memantapkan kerjasama antara ATM dan orang awam.

Seri Paduka Baginda kemudian berkenan menunaikan solat Jumaat bersama jemaah dan warga ATM yang hadir, diimamkan oleh Imam Besar Masjid Khalid bin Al-Walid Leftenan Kolonel Mohd Nizam Termizi Al-Hafiz.

Terdahulu, majlis bacaan Yasin dan tahlil turut diadakan bersempena dengan sambutan Hari ATM yang dipimpin Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan Kagat Brigedier Jeneral Mohamad Hamzah Adam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Majlis turut disertai seramai 2,000 pegawai dan anggota ATM serta orang awam.-airtimes.my

#HariATM #airtimes #DaulatTuanku #Malaysia #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!