KUALA LANGAT, 12 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar perairan Pantai Tanjung Rhu, Kuala Langat awal pagi Rabu.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira 1.50 pagi itu, pihaknya menerima maklumat daripada Area Control Centre (ACC) Klang berhubung satu sasaran mencurigakan dikesan bergerak laju di perairan tersebut.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat berkenaan, pasukan operasinya menemukan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran memecut laju dan seterusnya bertindak mengejar suspek yang berlanjutan kira-kira 35 minit.
“Susulan itu, bot ronda APMM dalam OP EHSAN dan OP TIRIS 3.0 diatur gerak ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan,
“Dalam cubaan bot suspek meloloskan diri, tekong dengan sengaja melanggar bahagian sebelah kanan bot ronda APMM sehingga menyebabkan kerosakan pada badan bot dan palang penghadang enjin, sebelum tekong terjun ke laut bersama beberapa pendatang lain dan berenang ke kawasan cetek hutan paya bakau berdekatan,
“Bot suspek berjaya dihentikan dan hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 2 wanita masing-masing berusia 28 dan 45 tahun tanpa dokumen pengenalan diri berada di atas bot,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Muhaimin berkata, hasil soal siasat ke atas kedua-dua wanita itu, terdapat kira-kira 20 penumpang lain yang menggunakan perkhidmatan bot terbabit untuk pulang ke negara asal, telah melarikan diri dengan terjun ke laut sebelum pelanggaran berlaku.
Menurutnya, bot fiber itu serta 2 suspek terbabit telah ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Selangor, Pelabuhan Klang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Jelas Abdul Muhaimin, pihaknya akan sentiasa memantau pencerobohan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia (ZMM) bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.-airtimes.my
#keselamatan #airtimes #PATI #Malaysia #seludup #APMM