Home Pertahanan dan Keselamatan Selesai program senggaraan: KM GAGAH bakal perkukuh operasi APMM

Selesai program senggaraan: KM GAGAH bakal perkukuh operasi APMM

by Nurulhuda

LUMUT, 11 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini menerima Kapal Maritim (KM) Gagah setelah selesai menjalani program senggaraan jentera utama.

Program penggantian jentera utama (repowering) dan pasang pulih (refit) selama 20 bulan telah dijalankan oleh Universiti Kuala Lumpur Malaysian (UniKL) Resources Sdn Bhd melalui kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan UniKL Malaysia Institute of Marine Engineering Technology (UniKL Mimet) serta Glide Marine Sdn. Bhd.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kejuruteraan APMM, Kepten Maritim Mohd Rizal Hishamuddin berkata, usaha itu dilakukan bagi memastikan aset agensi berkenaan sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan bersiap sedia menjaga keselamatan perairan negara.

“Skop kerja yang dilakukan antaranya penggantian enjin dan penyelenggaraan struktur badan kapal termasuk pelbagai sistem utama merangkumi jentera mekanikal, sistem elektrikal dan elektronik serta kelengkapan lain bagi memastikan jangka hayat kapal dapat ditingkatkan untuk beroperasi lebih lama,

“KM Gagah yang siap dibaik pulih telah melalui fasa Harbour Acceptance Trial (HAT) pada 23 Ogos lepas dan Sea Acceptance Trial (SAT) 28 Ogos di Selat Melaka, malah mampu melakukan operasi di laut dalam jangka waktu 7 hari tanpa ulang bekal serta mampu capai kelajuan 21.7 knot,

“Dengan adanya KM Gagah yang akan kembali beroperasi, ia mampu membantu APMM memperkukuh pengoperasian seterusnya memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) khususnya di perairan Perak sentiasa berada dalam keadaan selamat,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan KM Gagah Bagi Perolehan Repowering Jentera Utama dan Refit Maritim Malaysia di Limbungan UniKL MIMET, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Perak Rizal Effendi Razali; Timbalan Presiden Jaringan Antarabangsa, Industri dan Institusi UniKL Prof Ir Dr Azmi Hassan dan Ketua Cawangan Pengurusan Projek Bahagian Pembangunan Maritim Kepten Maritim Mohammad Nasir Man.

Mohd Rizal memaklumkan, kerja-kerja penyelenggaraan KM GAGAH menggunakan tenaga pakar dari UniKL MIMET dan tenaga mahir tempatan dari pemain industri tempatan.

“Selain itu, projek ini turut dipantau oleh Ship Classification Malaysia (SCM) yang memastikan kerja-kerja dilakukan mengikut piawaian antarabangsa.

Tambahnya, kapal berukuran 39.5 meter panjang dan 7 meter lebar dengan berat 221 tan itu mampu memuatkan 27 kru.

Ia juga dilengkapi dengan sebuah bot jenis Rigit Inflatable Boat (RHIB) serta didatangkan bersama radar i-band bagi memastikan pemantauan secara meluas dapat dilakukan.

“Dengan penambah baikan ini, KM Gagah diharap mampu memberikan hasil dan nilai pulangan pelaburan (ROI) kepada kerajaan melalui penguatkuasaan yang bakal dijalankan kelak.

“Selain itu, KM Gagah juga mampu mengurangkan aktiviti jenayah rentas sempadan yang berlaku di kawasan perairan negara khususnya di Selat Melaka,” katanya.

Sementara itu, Dr Azmi berkata, projek pembuatan dan pembaikan tersebut telah membuka peluang kepada 117 pelajar UniKL Mimet mempelajari dan memahami kaedah sesuatu projek bertaraf industri sebenar.

“Projek ini juga telah membuktikan bahawa tenaga mahir yang dihasilkan melalui laluan TVET amatlah diperlukan oleh industri pembinaan dan pembaikan kapal,

“Pada masa sama ia membuktikan binstitusi seperti UniKL MIMET memainkan peranan penting untuk melahirkan graduan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi dalam menyokong industri maritim negara,” katanya.

KM Gagah yang dibina pada tahun 1980 itu telah memasuki perkhidmatan Pasukan Polis Marin (PPM) selama 26 tahun sebelum diserahkan kepada APMM secara berperingkat bermula Jun 2005.-airtimes.my

#APMM #keselamatan #KMGagah #UniKL #airtimes

Related Articles

Leave a Reply