KUALA LUMPUR, 11 Sept – Warga 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) dan Komando Pasukan Khusus Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Darat (KOPASSUS TNI-AD) diingatkan agar menjadikan Eksesais HARIMAU SATYA sebagai satu ibadah dan bukan arena untuk mempertandingkan kehebatan masing-masing.
Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab berkata, eksesais selama 10 hari ini adalah medan bagi memantapkan kemahiran individu dalam melaksanakan tugas serta peranan sebagai anggota pasukan khusus yang mempunyai kompetensi yang tinggi.
“Saya berharap kedua-dua ketumbukan pasukan khusus ini dapat saling bertukar ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam bidang ketenteraan semasa eksesais ini berlangsung,
“Jadikan latihan ini sebagai satu ibadah dan bukan satu arena untuk mempertandingkan kehebatan masing-masing,” katanya ketika berucap semasa Majlis Penutup Eksesais Harimau Satya Siri 11/24 di kem Iskandar, Mersing, semalam.
Eksesais bilateral yang diadakan secara tahunan di antara Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama TNI-AD ini bertujuan mempertingkatkan tahap kebolehoperasian kedua-dua pasukan di dalam operasi pasukan khusus.
Eksesais yang berkonsepkan Cross Traning Exercise (CTX) dan Field Traning Exercise (FTX) memberi tumpuan terhadap Operasi Lawan Keganasan.
Ia bermula 1 hingga 10 September di Kem Iskandar, Mersing dan melibatkan seramai 4 pegawai serta 81 anggota dari Rejimen Ke-11 Gerak Khas (11 RGK), manakala, KOPASSUS TNI-AD diwakili 6 pegawai dan 19 anggota.
Mengulas lanjut, Ahmad Shuhaimi berkata, sebagai seorang anggota pasukan khusus, kedua-dua pasukan mempunyai tugas dan tanggungjawab yang amat besar.
“Peranan kita bukan sahaja terhad kepada aspek ketenteraan dan pertahanan semata-mata, tetapi juga merangkumi tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan ketenteraan nasional,
“Oleh itu, kerjasama dan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia melalui eksesais ini amat penting,
“Hubungan dua hala antara 21 GGK dan Komando Pasukan Khusus Indonesia harus terus kekal dalam pelbagai pendekatan bukan sahaja aspek latihan malah lebih daripada itu pada masa hadapan,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Panglima 21 GGK dan Atase Pertahanan Republik Indonesia, Brigadir Jenderal TNI Winarno menyaksikan demonstrasi melawan keganasan bersama anggota KOPASSUS TNI-AD.
Tahun lepas, anggota komando daripada kedua-dua negara itu turut terlibat dalam Eksesais Harimau Satya 10/23 yang dilaksanakan di PUSDIKLAT PASSUS, Batujajar, Bandung.-airtimes.my
#TDM #TNIAD #Malaysia #Indonesia #GGK #komando #gerakkhas #airtimes
Geleri gambar: