Hayat KD Pendekar, kapal serang laju (FAC) yang telah berbakti kepada samudera negara sejak 45 tahun akhirnya bersemadi di laut selepas karam di perairan Tanjung Penyusop, Johor.
Ironinya, KD Pendekar menoktahkan usianya semasa dalam pelayaran operasi meredah samudera. Kelihatannya KD Pendekar memegang utuh perjuangan TLDM yang dikenali dengan motto ‘Sedia Berkorban’.
Suka atau tidak, insiden ini mencatatkan satu lagi detik duka kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas nahas helikopter di Pangkalan TLDM Lumut pada April.
Tambahan pula, operasi salvaj kapal KD PENDEKAR telah meragut nyawa seorang anggota TLDM pada 28 Ogos 2024.
Dua tahun lalu, musibah sama menimpa Tentera Laut Thailand apabila kapal perang HTMS Sukhothai karam kira-kira 37 kilometer dari luar pesisir pantai tenggara Thailand.
Korvet kelas Ratanakosin berusia 35 tahun ini karam semasa laut bergelora setelah enjinnya mengalami kerosakan sebelum kapal menjadi senget.
Insiden mengorbankan 29 kru termasuk 5 yang lemas tidak ditemui. Mujur, insiden KD Pendekar tidak melibatkan mangsa.
Tenggelamnya kapal FAC KD Pendekar merupakan satu perkara yang sangat dibimbangi kerana isu berhubung aset-aset berusia atau usang TLDM ini telah banyak kali diperkatakan.
Sama ada penganalisis pertahanan, pihak media, pelbagai institusi sehinggalah kepada mantan Panglima Tentera Laut sendiri membangkitkan tentang keperluan keselamatan aset usang.
Semuanya memperjuangkan isu aset TLDM usang dan mahu angkatan laut negara dilengkapkan dengan aset-aset sewajarnya.
Walaupun punca nahas karam ini hanya akan diketahui setelah laporan siasatan terperinci dikeluarkan, namun faktor usia kapal juga tidak boleh diketepikan.
KD Pendekar merupakan satu daripada 4 buah FAC kelas Handalan yang dioperasikan oleh TLDM.
Kini yang tinggal adalah kapal KD Handalan (3511), KD Perkasa (3512) dan KD Gempita (3514).
KD Pendekar dibina pada 1978 berdasarkan reka bentuk kapal serang laju Spica-M buatan Karlskrona Varvet Shipyard, Sweden dan ditauliahkan ke dalam armada TLDM pada tahun 1979.
KD Pendekar asalnya merupakan kapal serang laju peluru berpandu (FAC M) bersenjatakan 4 pelancar Exocet MM38 yang menjadikan armada kapal-kapal kelas ini digeruni.
Bagaimana pun, seiring usianya persenjataan Exocet kemudian dilucutkan daripada KD Pendekar lalu dijadikan sebagai kapal serang laju dalam flotila rondaan.
Dua lagi kapal FAC dalam armada TLDM ialah Kelas Perdana/La Combattante II 4AL (FAC M) buatan Perancis yang dibina antara tahun 1972-1973 dan Kelas Jerung (FAC G 1977-1976) oleh firma Lürssen Werft Bremen, Jerman dan Hong Leong.
Empat adalah kapal peronda Kelas Perdana/La Combattante II 4AL iaitu KD Perdana (3501), KD Serang (3502), KD Ganas (3503) dan KD Ganyang (3504).
Enam lagi kapal Kelas Jerung iaitu KD Jerung (3505), KD Todak (3506), KD Paus (3507), KD Yu (3508), KD Baung (3509) dan KD Pari (3510).
Keluruhannya TLDM memiliki 14 kapal FAC, kecuali Kelas Jerung kesemua FAC bersenjatakan peluru berpandu MM38 Exocet.
Kapal-kapal FAC lahir semasa era pemodenan TLDM pada dekad 70an yang mana aset ini diperolehi sesuai dengan teknologi pada masa itu.
Ketiga-tiga kelas kapal ini mempunyai rekaan hampir sama sesuai dengan zaman ia dibina dan dimiliki TLDM untuk keperluan ancaman pada masa tersebut.
Pemilikan FAC juga merupakan trend banyak angkatan laut moden yang melihat kapal-kapal jenis ini sebagai pemusnah terbaik di medan tempur.
Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada masa itu merencanakan pembangunan aset-aset baharu untuk TLDM termasuklah pembinaan sebahagian kapal-kapal FAC di Malaysia.
Jumlah 14 buah FAC ini merupakan pembelian besar kepada Malaysia walaupun dibuat secara berperingkat-peringkat dalam keadaan negara mempunyai sumber kewangan terhad.
Malaysia ketika itu sebuah negara sedang membangun dan tidak mempunyai hasil ekonomi besar sepertimana hari ini.
Daripada keseluruhan kapal-kapal FAC ini, hanya KD Perkasa yang telah menjalani selenggaraan berjadual refit secara re-hull termasuk menggantikan kesemua jentera utama.
Mengikut perancangan sepatutnya kapal-kapal tiga kelas ini akan menjalani program refit yang sama untuk memberi hayat baru pada kapal, tapi belum sempat dilaksanakan.
Persoalan kini yang memerlukan tindakan kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (Mindef) ialah apakah masa depan kapal-kapal FAC sezaman dengan KD Pendekar?
Dalam situasi TLDM kekurangan aset-aset kapal perang dan kelewatan mendapatkan kapal baharu yang sedang dalam pembinaan, maka isu ini akan menjadi teka teki. – airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #TLDM #KDPendekar