KUALA LUMPUR, 10 Sept – Kerajaan Malaysia konsisten dan komited untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara di kawasan maritim seperti dinyatakan dalam Peta Malaysia 1979.
Kementerian Luar Negeri berkata pendirian ini selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
Menurut Wisma Putra, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan terkini berhubung kehadiran kapal tentera laut asing berhampiran pelantar minyak luar pesisir di Malaysia.
Bagaimanapun, kementerian itu tidak dapat mengulas mengenai kesahihan dan butiran mengenai pergerakan kapal tentera berkenaan, kerana perkara ini terletak di bawah pihak berkuasa operasi keselamatan dan pertahanan.
“Namun bergitu, pendirian Malaysia terhadap Laut China Selatan kekal konsisten,
“Kami komited untuk mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan, dan kepentingan kami di kawasan maritim kami, seperti yang digariskan dalam Peta Malaysia 1979,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan pada Isnin.
Selain itu, selaras dengan dedikasi untuk mengekalkan Laut China Selatan sebagai wilayah keamanan, kestabilan dan perdagangan, Malaysia akan terus terlibat secara diplomatik dengan semua negara yang berkaitan.
“Kerajaan komited untuk menyelesaikan pertikaian melalui cara aman dan mematuhi prinsip yang digariskan dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC), yang menekankan kepentingan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan,” jelas kenyataan itu lagi.
Pada Sabtu, media melaporkan, kapal peninjau tentera China dan Pengawal Pantai China (CCG) dilaporkan berlegar di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia, berdekatan pelantar minyak Velesto Energy NAGA 4, milik PETRONAS di Sarawak.
Kapal bersenjata peluru berpandu itu dikatakan diiringi oleh sebuah kapal pengawal pantai China. -airtimes.my
#keselamatan #LautChinaSelatan #Malaysia #China #ceroboh #Sarawak #airtimes