KUALA LUMPUR, 6 Sept – Kapal Diraja (KD) LEKIU Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah selamat kembali ke Pangkalan TLDM Lumut setelah selesai menyertai Eksesais Rim of The Pacific (RIMPAC) 2024
Eksesais RIMPAC bermula pada 26 Jun sehingga 1 Ogos lalu di Honolulu, Hawaii, Amerika Syarikat dan berakhir dengan jayanya.
Ia merupakan eksesais multilateral terbesar di dunia yang disertai oleh 29 buah negara serta melibatkan 40 buah kapal perang, 3 kapal selam, 150 pesawat dan 25,000 peserta seluruh dunia.
Kapal korvet KD Lekiu yang mencecah usia 30 tahun itu menjadi kebanggaan di bulan kemerdekaan ini kerana telah berjaya mengharumkan nama negara di dalam eksesais peperangan laut terbesar di dunia.
Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Ts. Shamsuddin Ludin berkata, kejayaan KD Lekiu dalam melaksanakan kesemua siri latihan semasa Fasa Force Integration Training merupakan kebanggaan buat warga TLDM.
“Eksesais RIMPAC 2024 merupakan eksesais luar negara terbesar serta jarak perjalanan yang amat jauh,
“Kita juga akur akan kekangan aset serta cabaran-cabaran menangani aset-aset yang berusia. Namun dengan profesionalisme serta mentaliti yang kita semua sama-sama pegang dengan penilaian risiko yang teliti oleh semua lapisan, kita dapat melibatkan diri dalam eksesais ini dan membawa KD Lekiu pulang dengan jayanya serta selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis menyambut kepulangan kapal bersama ahli keluarga KD LEKIU dan warga TLDM di Pangkalan Lumut, pada Khamis.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada barat (MPA Barat) memaklumkan, KD LEKIU yang dipimpin oleh Pegawai Memerintah, Kepten Mahamad Nazir Darus TLDM, bersama 170 warganya, telah belayar sejauh 6,365 batu nautika dari TPL pada 29 Mei lalu untuk penugasan selama 100 hari.
Latihan anjuran Tentera Laut Amerika Syarikat yang diadakan 2 tahun sekali ini merupakan platform penting untuk memperkukuh kerjasama antara angkatan laut dari pelbagai negara.
Selain Malaysia, RIMPAC 2024 turut melibatkan penyertaan negara Asean yang lain iaitu Singapura, Indonesia dan Brunei yang secara langsung menegaskan komitmen kolektif terhadap keselamatan maritim dan kerjasama antarabangsa.
“RIMPAC 2024 menyediakan peluang kepada Malaysia dan TLDM untuk meningkatkan keupayaan taktikal dan strategik, mempelajari teknologi dan teknik terkini serta mempererat hubungan diplomatik dengan negara-negara peserta,
“Melalui TLDM, Malaysia membuktikan tetap berpegang kepada prinsip diplomasi pertahanan yang inklusif, sambil memastikan kepentingan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,
“Bersempena dengan bulan kemerdekaan ini, kehadiran KD LEKIU sebagai duta kecil Malaysia di RIMPAC 2024 memainkan peranan penting dalam mendokong Kertas Putih Pertahanan Negara yang menekankan kepentingan memperkukuh diplomasi pertahanan dan kerjasama global dalam mempertahankan kedaulatan negara,” jelas MPA Barat.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #TLDM #Malaysia #RIMPAC2024 #Hawaii