KUALA LUMPUR, 5 Sept – Kegagalan meneruskan ujian ketika di peringkat Jalan Jauh (Long March) sejauh 160 kilometer (km) pada kursus yang terdahulu bukan penamat untuk meraih impian bergelar warga Gerup Gerak Khas (GGK).
Berbekalkan minat yang mendalam terhadap pasukan khas ini serta sokongan dari keluarga, Leftenan Muda (Lt M) Jafni Jamaludin tekad untuk menyertai semula Kursus Asas Komando dan berjaya meneruskan cabaran hingga akhirnya.
“Kelaziman gagal di peringkat Long March itu memang ramai dan saya antara yang malang pada ketika itu (Kursus Asas Komando sebelum ini),
“Saya fikir itu bukan halangan untuk saya tidak mencuba lagi, saya cuba lagi untuk mendapatkan Beret Hijau disebabkan minat yang tidak pernah pudar,
“Pada masa itu, perasaan agak kecewa. Saya bangkit sebab ada sokongan dari kawan-kawan dan keluarga. Alhamdulilah saya berjaya menghabiskan cabaran itu,” jelasnya kepada Air Times.
Lt M Jafni merupakan satu-satunya pegawai dan 66 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang berjaya disarungkan Beret Hijau kebanggaan GGK pada Majlis Penutup Kursus Asas Komando Siri 2/2024, Ahad lalu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab di Pantai Betutu Laut, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang, Melaka.
Dibesarkan dalam Kem Komando
Mengulas lanjut, Lt M Jafni berkata, minat untuk menyertai GGK bermula sejak dari bangku sekolah lagi berikutan beliau dibesarkan dalam suasana dan persekitaran sebagai anak komando.
“Dari sekolah saya meminati pasukan komando ini kerana saya dibesarkan dalam persekitaran kem komando itu sendiri,
“Minat itu lahir dengan sendirinya apabila hari-hari melihat anggota komando berlari, bekerjasama, kualiti ketenteraan sudah ada di situ. Secara langsung ia mendorong minat saya untuk menyertai komando ini,” ujar Lt M Jafni.
Tidak pernah memaksa, melarang anak sertai komando
Sementara itu, Mejar Jeneral Datuk Jamaludin Jambi (B) meluahkan rasa bersyukur dan bangga kerana anak lelakinya berjaya menamatkan kursus yang penuh cabaran ini.
“Alhamdulilah Lt Muda Jafni berjaya hari ini, walaupun pernah gagal sekali di peringkat Long March. Saya berasa gembira apabila dia (Lt M Jafni) dapat habiskan kursus dan disarungkan dengan Beret Hijau,
“Bagi saya, ini merupakan pembukaan untuk kerjaya beliau dalam Gerak Khas terutamanya dan Tentera Darat amnya. Selepas ini beliau akan menghadiri kursus kepakaran dan kerjaya sebagainya, itu dia kena buat sendirinya,
“Bab dia hendak masuk komando ini, saya tak pernah paksa, bahkan tidak pernah melarang. Dia hendak mencuba, saya izinkan. Bagi saya komando ini sukarela, kalau pemikiran tak betul, tetap jadi tak betul,” ujarnya.
Ada pewaris teruskan legasi dalam komando
Jamaludin yang juga Bekas Panglima 21 GGK ke-14 turut meluahkan rasa bangga kerana legasi sebagai anggota komando diambil alih oleh anaknya sendiri.
“Saya penah maklum pada dia, Kursus Asas Komando ini memang betul-betul memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang kuat. Dia tak boleh demam, tak boleh sakit semasa ujian dan sebagainya,
“Kalau ada masalah kesihatan, atau sakit masa ujian, penuntut akan tetap gagal. Hari ini, Jafni dapat teruskan dan melepasi cabaran dalam kursus ini,
“Dalam tentera ini, peluang banyak terbuka, bukan sahaja dalam Gerak Khas, dalam kor-kor lain pun, masih boleh berkhidmat. Saya harap dia maju jaya selepas ini, kini saya sudah ada pewaris untuk meneruskan legasi saya selepas ini,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#gerakkhas #komando #ggk #pewaris #airtimes #TDM #asaskomando #21ggk