Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM tahan 17 PATI, rampas rokok seludup bernilai lebih RM161,000

ESSCOM tahan 17 PATI, rampas rokok seludup bernilai lebih RM161,000

by Nurulhuda

SANDAKAN, 26 Ogos – Pasukan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menahan seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas rokok seludup bernilai lebih RM161,000 dalam operasi bersepadu di sekitar daerah ini, pada 22 hingga 23 Ogos lalu.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi yang dilaksanakan dengan kerjasama beberapa pasukan penguat kuasa lain itu mensasarkan sebanyak 523 rumah serta premis di 4 kawasan sekitar koloni setinggan haram dan bandar Sandakan.

Menurutnya, operasi membabitkan 202 pegawai dan anggota itu dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta jabatan dan agensi Persekutuan termasuk Negeri adalah demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Tambahnya, operasi itu diadakan bagi mengesan kehadiran PATI yang boleh mengancam keselamatan negara, ketenteraman awam serta kesejahteraan masyarakat.

“Hasil operasi itu, 17 orang daripada 876 individu yang diperiksa ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula merampas pelbagai rokok tanpa cukai dengan nilai rampasan berjumlah RM161,882.16,

“Selain itu, operasi memotong sambungan bekalan paip air dan elektrik secara haram turut dijalankan sekitar lokasi-lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Victor menjelaskan, kejayaan operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM.

“Ia juga dapat memperkasa operasi-operasi sedia ada bersama penguat kuasa lain selaras dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’,

“Operasi ini juga bagi memastikan ancaman pencerobohan anasir asing dapat dikekang serta menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di pantai timur Sabah,” jelasnya lagi. -airtimes.my

#keselamatan #airtimes #ESSCOM #ESSZONE #Sabah

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?