Home Pertahanan dan KeselamatanTentera DaratEks Semangat Bersatu: Lambang penyatuan dua negara lindungi keselamatan serantau

Eks Semangat Bersatu: Lambang penyatuan dua negara lindungi keselamatan serantau

by Nurulhuda
A+A-
Reset

JOHOR, 26 Ogos – Eksesais SEMANGAT BERSATU Siri 28/2024 yang melibatkan kerjasama Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Singapura (TDS) berjaya meningkatkan kebolehoperasian operasi serta kemampuan saling kendali antara kedua-dua negara.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, eksesais bilateral tahunan ini bertujuan memupuk persefahaman dan memperkukuhkan kerjasama bilateral dalam aspek ketenteraan.

Menurutnya, seramai 746 pegawai dan anggota dari kedua-dua buah negara telah terlibat dengan latihan kali ini dengan melibatkan, 73 pegawai dan 639 anggota dari TDM manakala 19 pegawai serta 107 anggota TDS.

“Antara latihan yang diadakan ialah Cross Training Exercise (CTX), Joint Adventure Training (JAT), Field Training Exercise (FTX) dan Simulasi Serangan Akhir yang memerlukan ketangkasan dan kecekapan serta kerjasama erat antara kedua-dua pasukan,

“Eksesais ini telah berjaya mempamerkan komitmen kedua-dua negara dalam memupuk kesefahaman ketika melaksanakan operasi bersama,

“Pengetahuan operasi yang diperolehi akan menyumbang kepada kesediaan negara pada masa depan,

“Persefahaman yang dibentuk semasa latihan ini juga akan meningkatkan kerjasama masa depan dengan memastikan kedua-dua tentera bersedia untuk cabaran keselamatan serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Upacara Penutup Eksesais Semangat Bersatu Siri 28/2024 bersama Panglima Tentera Darat Singapura, Mejar Jeneral David Neo bertempat di Kompleks Ladang Sungai Kluang, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddeain berkata, pihaknya kini sedang berusaha melaksanakan lebih banyak latihan bilateral yang komprehensif.

Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan, latihan bilateral seperti ini mempamerkan komitmen berterusan negara dalam memastikan keselamatan serantau dengan mengesahkan hubungan kerjasama yang strategik diantara Malaysia dan Singapura.

Terdahulu, eksesais ini telah bermula sejak 19 Ogos yang lalu.

Pasukan TDM yang terlibat secara langsung dalam eksesais ini adalah pasukan-pasukan bawah naungan Briged Ketujuh Infantri (7 Bgd) iaitu Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD); Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD);
Rejimen Kedua Artileri Diraja (2 RAD) dan Skuadron Kelapan Rejimen Askar Jurutera Diraja (8 Skn RAJD).

Manakala pasukan dari TDS ialah 1 Kompeni 5th Singapore Infantry Regiment (5th SIR) dari 2nd Singapore Infantry Brigade (2nd SIB).

Majlis penutup eksesais ini menyaksikan upacara Pembukaan Armbands oleh Panglima Tentera Darat kepada elemen-elemen utama yang terlibat sepanjang eksesais berlangsung.

Selain itu, majlis juga menyaksikan Penyerahan Bendera 5 RAMD daripada Pegawai Memerintah 5 RAMD, Leftenan Kolonel Mohd Shahrul Nizam Hamidon, selaku Ketua Perbarisan penutup, kepada Ketua Kompeni B 5th SIR, Kapten Andy Loh Hong Xuan.

Turut hadir, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin serta Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan (AKS OPLAT) Markas Tentera Darat (MK TD), Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki. -airtimes.my

#tdm #tds #singapura #Malaysia #airtimes #pertahanan #bilateral

Related Articles

Leave a Reply