Home Teknologi Pertahanan Stare Resources mahu main peranan pacu industri pertahanan negara

Stare Resources mahu main peranan pacu industri pertahanan negara

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 24 OGOS – Potensi untuk memacu kemajuan dalam industri pertahanan akan dimanfaatkan Stare Resources Sdn. Bhd. (Stare Resources) berikutan menyertai keahlian Dewan Perniagaan dan Industri Perancis-Malaysia (CCIFM).

CCIFM mewakili lebih 300 syarikat ahli daripada pelbagai sektor membentuk sebuah entiti dinamik dan rangkaian perniagaan yang berpengaruh.

Entiti ini berperanan membangunkan hubungan antara ahlinya dan komuniti perniagaan di Malaysia.

Ia bagi menggalakkan dan menyokong perdagangan serta pelaburan antara Perancis-Malaysia sekali gus meningkatkan urusan perniagaan dalam kalangan ahlinya.

Ketika ini Stare Resources dilantik sebagai wakil tunggal di Malaysia bagi syarikat kejuruteraan ketenteraan Perancis, CEFA dan Pronal.

Sehubungan itu sebagai ahli CCFIM, Stare Resources boleh menjadi pemudah cara serta mengetengahkan teknologi kejuruteraan Perancis di sini dan begitu juga menawarkan teknologi yang Malaysia ada ke sana.

Pengarah Urusan Stare Resources, Kapten (B) Ir Ts Azrul Affandhi Musthaffa Al Bakri berkata, penyertaan dalam komuniti CCFIM juga membuka pelbagai potensi pada masa hadapan.

Menurut beliau, keahlian ini memacu kemampuan Stare Resources dalam bidang sedia ada selain memupuk hubungan lebih kukuh sebagai komuniti perniagaan Malaysia-Perancis.

“Menyertai CCFIM memberi akses kepada ahlinya berhubung dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan agensi-agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan kerjasama, memacu inovasi dan meningkatkan peluang perniagaan antara kedua-dua negara.

“Pencapaian ini menandakan lembaran baharu bagi kami apabila menjadi sebahagian daripada rangkaian dinamik profesional dan perniagaan seterusnya meneroka peluang baharu untuk kerjasama,” ujarnya.

Stare Resources merupakan syarikat tempatan yang bekerjasama dengan Nadicorp Holding dalam melaksanakan projek terutamanya mengenai jambatan.

Syarikat ini telah membekalkan dua unit Logistic Support Bridge (LSB) kepada Tentera Darat.

Apa yang istimewa LSB hasil rekaan dan pembangunan Stare Resources ini memenuhi keperluan Tentera Darat.

Semasa menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 lalu, Stare Resources telah mempamerkan beberapa teknologi kejuruteraan jambatan medan yang mempunyai potensi untuk digunakan ATM. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply