Home Semasa Saksi bisu pertempuran Perang Dunia ke-2, Era Darurat musnah akibat bencana

Saksi bisu pertempuran Perang Dunia ke-2, Era Darurat musnah akibat bencana

by Zaki Salleh

TANJUNG MALIM, 24 Ogos – Jambatan Slim Village yang menjadi saksi sejarah Pertempuran Slim River pada 1942 ketika kemaraan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua runtuh akibat hujan lebat.

Kejadian dipercayai berlaku pada petang Jumaat setelah hujan lebat menyebabkan arus deras Sungai Slim.

Sebahagian besar jambatan ini musnah dan jatuh masuk ke dalam sungai.

Laluan ke jambatan berkenaan kini ditutup kepada semua jenis kenderaan atas faktor keselamatan.

Jambatan Slim Village merupakan satu tinggalan sejarah peperangan kerana menjadi laluan strategik bagi kemaraan tentera Jepun.

Ia menjadi saksi kemaraan ribuan tentera Jepun dan pengunduran tentera berikat dalam keadaan menghadapi tekanan perang.

Jambatan yang kekal dalam kedaan asal ini menjadi penghubung dari Slim River ke Behrang Ulu melalui jalan lama Slim River-Tanjung Malim.

Sebelum adanya jalan baharu sepertimana hari ini, laluan ini adalah jalan utama menghubungkan utara khususnya Perak dengan Kuala Lumpur.

Kesan dapat dilihat pada beberapa tiang konkrit menjadi benteng jambatan seperti kesan serpihan  dipercayai akibat terkena tembakan.

Pada besi penghadang jambatan juga terdapat lubang berongga dipercayai akibat terkena tembakan dengan senjata api.

Pertempuran Slim River merupakan peristiwa penting apabila menjadi titik tolak kekalahan British dalam Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu khususnya di Perak.

Pertempuran berlaku pada 6 Januari 1942 melibatkan rejimen infantri Jepun bersama 20 kereta kebal dengan dua buah briged tentera British dan India berkekuatan 3,200 anggota.

Pertempuran ini menyaksikan 1,000 korban manakala banyak kelengkapan British musnah dan dirampas seperti 23 meriam, 6 meriam anti pesawat, 50 kereta perisai dan 550 trak

Daripada aspek taktikal, pertempuran ini telah menyaksikan keberkesanan penggunaan kereta kebal oleh tentera Jepun semasa menggasak pertahanan tentera British termasuk melakukan serangan mengejut pada waktu malam

Kesan tinggalan perang yang ada termasuk batu peringatan Jepun, jambatan di Trolak, laluan jalan lama antara Trolak dan Slim River dan jambatan yang tidak dimusnahkan oleh British di Kampung Slim.

Jambatan Slim Village juga menjadi saksi banyak peristiwa penting yang berlaku semasa era Darurat – airtimes.my

#AirTimes #Semasa #SlimRiver

Related Articles

Leave a Reply