KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Malaysia menjadi negara pertama di Asia melakukan misi kemanusiaan dengan membawa pulang rakyat Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di negara ini.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, pihaknya amat menghargai usaha kerajaan Malaysia yang menyelamatkan pesakit selepas menderita akibat kekejaman Israel.
“Terima kasih kepada Malaysia atas usaha menyelamatkan rakyat Palestin yang cedera dalam pembunuhan beramai-ramai rejim Israel,
“Malaysia menjadi negara pertama di Asia membawa pulang warga Palestin yang cedera sehingga menempuh penerbangan lebih 16 jam,
“Usaha itu amat bermakna dan saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak berkuasa negara ini termasuk Wisma Putra,” katanya ketika menyambut ketibaan 127 warga Palestin di Pangkalan Udara Subang, pada Jumaat.
Pada masa sama, beliau turut berterima kasih atas bantuan negara jirannya iaitu Mesir yang telah banyak memberi bantuan kepada rakyat Palestin yang cedera sebelum ini.
Terdahulu, seramai 127 pesakit warga Palestin dan ahli keluarga tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 2.04 petang dan 2.25 petang.
Kesemua mereka berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza, di Kaherah, Mesir dengan menaiki 2 buah pesawat A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ketibaan mereka turut disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mengulas lanjut, Walid yakin semua rakyat Palestin itu selamat di negara ini yang menjadi rumah kedua mereka.
“Malaysia sudah lama sentiasa menjadikan Palestin sebagai keutamaan menerusi sokongan dan solidariti yang kukuh,” katanya.
Menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF), misi tersebut melibatkan seramai 75 pegawai dan anggota Angkatan Tentera malaysia (ATM) serta agensi awam merangkumi krew penerbangan, anggota TUDM dan Aeromedical Team dari Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM (BPK).
“Kesemua pesakit yang dibawa ke Malaysia telah melalui proses tapisan yang dilaksanakan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK), ATM bagi memastikan setiap daripada mereka boleh melalui penerbangan yang panjang,
“Antara rawatan yang diberikan kepada pesakit termasuklah patah dan kehilangan anggota badan terutamanya kaki dan tangan, luka parah di kepala, kecederaan mata dan lain-lain penyakit serta kecederaan yang berpanjangan kesan daripada akses kepada kemudahan kesihatan yang terhad,” kata kementerian dalam satu kenyataan. -airtimes.my
#Palestin #Malaysia #TUDM #ATM #pesakit #Asia #airtimes