LAHAD DATU, 16 Ogos – Kemahiran dalam operasi amfibia tidak terhad kepada pasukan tentera, malah elemen keselamatan lain seperti Pasukan Gerakan Am (PGA) juga perlu.
Dengan persekitaran perairan luas selain terdapat pulau-pulau maka operasi amfibia adalah wajib untuk dikuasai.
Ini kerana kecekapan dalam kemahiran menghadapi pertempuran amfibia (sea combat) bakal menggandakan kemampuan PGA.
Atas sebab itu, PGA Bridged Sabah berusaha meningkatkan kemahiran ‘sea combat’ ini sebagai persediaan untuk apa sahaja kemungkinan dan bentuk ancaman anasir luar dan dalam negeri.
Perkara ini dilaksanakan menerusi latihan secara berterusan bagi melahirkan pegawai dan anggota PGA yang mahir dalam ilmu tempur di medan laut.
Kesungguhan tersebut telah dipamerkan seramai 40 pegawai dan anggota apabila menamatkan
Kursus Asas Sea Combat Briged Sabah Siri 1/2024 di Pantai Tanjung Payang, Lahad Datu di sini.
Kursus selama 30 hari itu melibatkan 17 jurulatih diketuai Pegawai Memerintah Batalion 17 PGA Lahad Datu, Superintendan Victor Cardona
Ini merupakan kesinambungan pada kursus sama yang telah diadakan PGA Briged Sabah tahun lalu.
Kursus yang dianjurkan ini untuk mempertingkatkan kecekapan dan keupayaan para peserta dengan kemahiran tempur untuk berhadapan sebarang kemungkinan.
Latihan-latihan sepanjang kursus mendedahkan anggota terhadap tatacara operasi dan serbuan di lapangan.
Terdahulu, majlis penutupan kursus asas berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA, DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.
Hadir sama Komander Bridged PGA Sabah, SAC Datuk Abdul Rani Alias dan Ketua Staf Pasukan Khas ESSCOM, SAC Mohd Nasaruddin M.Nasir.
Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, antara yang ditekankan ialah kemahiran pengendalian bot tempur serta risikan maklumat bagi menangani ancaman semasa bertugas.
“Kursus ini melibatkan semua anggota daripada batalion-batalion PGA dalam Briged Sabah. Ketika ini terdapat lima batalion kesemuanya.
“Kita baru lulus penubuhan dengan tambahan dua buah batalion lagi iaitu untuk ditempatkan di Keningau dan Kunak
“Dengan penambahan ini kita mahu meningkatkan lagi kemahiran dalam kalangan pegawai dan anggota PGA khususnya di kawasan ESSZONE ini bagi siap siaga menangani sebarang ancaman,” ujar beliau. – airtimes.my
#AirTimes #Keselamatan #PGA #Sabah
