GEMAS, 13 Ogos – Lebih 800 pegawai dan anggota Malaysia Batalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan berada dalam keadaan selamat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa memantau dengan rapat keadaan semasa konflik di negara berkenaan dan memberi jaminan untuk melaksanakan tindakan terbaik berdasarkan situasi semasa.
“Kita ada pelan, perancangan dan alternatif sekiranya keadaan menjadi semakin meruncing, memang berada dalam tanggungjawab… apa-apa pun keputusan kita berasaskan pada perbincangan, perundingan yang dipersetujui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),
“Bagaimanapun sebagai satu jaminan, pilihan untuk tentera kita di sana memang telah pun kita bangunkan dan ia hanya akan digerakkan apabila keadaan memerlukan,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2024 di Lapang Sasar, Kem Syed Sirajuddin hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, MINDEF ketika ini sedang berhubung lanjut dengan Kuwait bagi mendapatkan keputusan dan pendirian negara itu berkenaan hasrat Malaysia untuk mendapatkan pesawat F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Secara teknikalnya, pesawat berkenaan sangat sesuai untuk ATM, keputusannya akan ambil masa sebab ia tak mudah,
“Kita masih menunggu (keputusan) dan sudah berhubung secara lebih dekat dengan Kuwait,” ujarnya lagi.
Mohamed Khaled sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia sememangnya berminat mendapatkan pesawat berkenaan susulan perbincangan pihaknya dengan Kuwait dan penghantaran pasukan teknikal bagi membuat penilaian terhadap pesawat itu pada Jun lepas.
Pada Jun lepas, pasukan teknikal TUDM telah mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur berkenaan.-airitmes.my
#pertahanan #airtimes #MALBATT #Malaysia #Lubnan