Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Seorang pegawai, 26 anggota TUDM lepasi azab 12 minggu bergelar PASKAU

Seorang pegawai, 26 anggota TUDM lepasi azab 12 minggu bergelar PASKAU

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Bukan mudah untuk menjadi seorang anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU). Mereka perlu menjalani latihan ‘azab’ siang dan malam selama 3 bulan demi meneruskan misi untuk bergelar anggota PASKAU.

Setiap anggota diuji ketahanan mental serta fizikal sebelum melayakkan diri bergelar anggota PASKAU dan dianugerahkan beret biru.

Semua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang layak perlu mengharungi modul latihan ditetapkan Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT) Bukit Ibam, Pahang, meliputi latihan peringkat kem, jalan lasak jarak jauh 160 kilometer (km), latihan hutan, survival, escape, resistance, latihan perairan dan dark water (mendayung bot tempur secara taktikal sejauh 120 km).

Ia bertujuan memastikan latihan ini selari dengan penugasan dan peranan PASKAU dalam melaksanakan operasi khas di daratan, lautan dan udara, peperangan hutan, serangan pantai, sabotaj, menyelamatkan tebusan serta latihan ikhtiar hidup.

Terbaru, seorang pegawai dan 26 anggota TUDM berjaya menamatkan Kursus Asas Komando TUDM Siri 31/24 dan menerima anugerah beret PASKAU.

Majlis tersebut telah disempurnakan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM di Jeram Air Leleh, Bukit Ibam, Pahang pada Sabtu.

Turut hadir, Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada Ismail TUDM dan Timbalan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mejar Jenera Datuk Shamsudin Kassim TUDM.

Ketika berucap Panglima Tentera Udara menekankan bahawa Pasukan Khas TUDM merupakan elemen yang penting dalam ketumbukan TUDM.

“Peranan yang dimainkan oleh pasukah Khas TUDM adalah besar dalam menjadi perisai kedaulatan negara,

“Program-program peningkatan kemahiran dan pengetahuan akan diteruskan bagi menentukan pasukan Khas TUDM berkeupayaan melaksanakan misi-misi khas pada sebilang masa bagi mendepani kepelbagaian dimensi ancaman dan peperangan,” ujarnya.

Kursus Komando TUDM Siri 31/24 ini dimulakan dengan latihan pra kursus yang disertai seramai 53 orang penuntut bertempat di Pangkalan Udara Jugra, namun hanya 27 orang penuntut yang telah berjaya menamatkan kursus dengan jayanya.

Leftenan Che Wan Muhammad Aidilasward Che Wan Mohd Radzi TUDM telah dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Kursus pada kali ini.-airtimes.my

#paskau #TUDM #pasukankhas #airtimes #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply