Home Semasa Tok Mat ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tergempar OIC mengenai jenayah Israel

Tok Mat ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tergempar OIC mengenai jenayah Israel

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif di Peringkat Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Rabu, di Jeddah, Arab Saudi.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan, mesyuarat yang diusulkan oleh Palestin dan Iran itu, akan membincangkan jenayah kependudukan Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin dan pencerobohan serta ancaman Israel terhadap kedaulatan Iran.

Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Gambia sebagai pengerusi Sidang Kemuncak OIC ke-15.

“Penyertaan Mohamad dalam mesyuarat itu akan memberi peluang kepada Malaysia untuk mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan besar-besaran di Semenanjung Gaza oleh rejim Israel termasuk pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran,” jelas Kementerian Luar Negeri menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Wisma Putra, penyertaan ini melambangkan komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan Malaysia menyokong penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Selain itu, Malaysia menyokong kemasukan Negara Palestin dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai anggota penuh.-airtimes.my

#semasa #palestin #Malaysia #Iran #perjuangan #airtimes

Related Articles

Leave a Reply