JELEBU, 4 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menerima maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk Tentera Darat Malaysia (TDM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan membincangkan di peringkat kementerian untuk mencari jalan terbaik berhubung tindakan selanjutnya.
“AGC beri semua kemungkinan, kalau dibatalkan macam mana, kalau tidak dibatalkan apa perlu kita lakukan,
“Perbincangan itu tidak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet sebaliknya akan diselesaikan di peringkat kementerian sahaja,” katanya seperti di lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jelebu, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias merangkap Ketua UMNO Bahagian Jelebu.
Mohamed Khaled sebelum ini dilaporkan berkata, kementeriannya sedang mendapatkan maklum balas daripada AGC berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk TDM.
Sebelum ini, Air Times melaporkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, TDM mengusulkan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk TDM kepada MINDEF, susulan kelewatan penghantaran pertama helikopter berkenaan.
Sementara itu, Mohamed Khaled turut berkata, kerajaan mempunyai perancangan berkenaan pasukan tentera pengaman di Lubnan sekiranya konflik di negara itu meruncing.
“Kita ada perancangan sekiranya konflik peperangan merebak di negara itu iaitu termasuk membawa pulang anggota kita, bagaimanapun ia memerlukan persetujuan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Tambahnya, lebih 800 pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Batalion MALBATT 850-11 kini sedang melaksanakan misi pengaman dan kemanusiaan di Lubnan. -airtimes.my
#pertahanan #TDM #blackhawk #helikopter #airtimes
