Home SemasaMalaysia komited mahu bantu selesaikan Rundingan Damai di Selatan Thailand

Malaysia komited mahu bantu selesaikan Rundingan Damai di Selatan Thailand

by Nurulhuda
A+A-
Reset

PASIR MAS, 3 Ogos – Malaysia komited mahu membantu dalam usaha menyelesaikan Rundingan Damai antara kerajaan Thailand dan pejuang pemisah wilayah sempadan selatan negara itu, Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menyerahkan segala cadangan kepada Thailand untuk menyelesaikan proses pendamaian tersebut.

“Isu rundingan damai di Selatan Thailand itu isu domestik Thailand bukan isu Malaysia. Tetapi oleh kerana hubungan kita baik dengan Thailand, mereka minta kita berikan kerjasama supaya mendokong usaha damai dan itu telah kita (Malaysia) berikan komitmen,

“Apa sahaja yang perlu sama ada dari segi keselamatan, ekonomi, sosial dan pendidikan termasuk kerjasama dari kerajaan persekutuan dan negeri di utara akan kita laksanakan,” katanya pada sidang media sempena Lawatan Kerja di Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Golok, Thailand, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, bekas Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohd Rabin Basir dilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand berkuat kuasa 1 Julai 2024.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Ketua Pengarah Keselamatan Negara berkata, kerajaan amat yakin terhadap keupayaan Mohd Rabin untuk merealisasikan misi dengan baik, berkesan dan mampu mencapai dampak yang positif serta signifikan kepada Proses Dialog Damai Selatan Thailand.

Perlantikan Mohd Rabin adalah bagi menggantikan Jeneral Prof Tan Sri Panglima (B) Zulkifli Zainal Abidin yang menamatkan tugas sebagai fasilitator itu pada 30 Jun lalu.

Terdahulu, Anwar bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Srettha Thavisin sama-sama mengadakan lawatan kerja di Kompleks CIQ (Kastam, Imigresen, Kuarantin) Sungai Golok di Narathiwat, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mempercepatkan pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Golok, Thailand.

Ujarnya pembinaan jambatan kedua itu akan merancakkan lagi ekonomi kedua-dua negara.-airtimes.my

#semasa #Malaysia #Thailand #DSAI #airtimes

Related Articles

Leave a Reply