Home SemasaKolumnis: Kelewatan terima Black Hawk boleh jejaskan tempo operasi dan latihan Tentera Darat

Kolumnis: Kelewatan terima Black Hawk boleh jejaskan tempo operasi dan latihan Tentera Darat

Tentera Darat tidak mempunyai helikopter pelbagai guna setelah khidmat Nuri ditamatkan, maka Black Hawk menjadi pilihan alternatif pada ketika ini.

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

Sepertimana yang diumumkan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari semasa di Dewan Rakyat beberapa minggu lalu, konflik di Ukraine dikatakan antara punca kelewatan penghantaran helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk ke Malaysia.

Sebab lain ialah proses kelulusan kawal selia yang ketat oleh negara pengeluar asal helikopter, Amerika Syarikat (AS) bagi pemodenan spesifikasi teknikal dan integrasi sistem avionik ke atas pesawat Black Hawk UH-60A.

Ini yang dimaklumkan oleh pihak syarikat kepada Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam menjawab persoalan mengapa helikopter Black Hawk secara sewaan itu masih belum diterima Tentera Darat.

Sepertimana yang diketahui, helikopter Black Hawk tersebut adalah jenis terpakai bekas kegunaan tentera AS, maka penyelenggaraan semula termasuk menaik taraf beberapa sistem pesawat dilakukan oleh pihak pembekal.

Hanya setelah fasa ini siap dan helikopter diuji barulah ia diberi lampu hijau terbang.

Cumanya, secara lebih terperinci tentang kerja-kerja ini hanya diketahui oleh pihak syarikat dan Mindef sebagai bakal pengguna

Sekarang waktu telah memasuki bulan Ogos, bermakna lapan bulan helikopter Black Hawk ini masih belum dapat diterbangkan di ruang angkasa negara.

Kesemua empat buah helikopter Black Hawk sepatutnya telah diterima secara berperingkat-peringkat pada 30 Oktober 2023 dan 30 Disember 2023.

Tarikh itu kemudian dilanjutkan pada awal tahun ini sebelum dimaklumkan pada April dan Mei.

Situasi ini berubah apabila kelewatan penghantaran dibangkitkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Tegas Muhammad Hafizuddeain, Tentera Darat  amat memerlukan keupayaan aset itu bagi melancarkan tugas operasi serta latihan anggota, namun pihak kontraktor masih gagal memenuhi janji yang telah dimeterai.

Difahamkan, kontrak sewaan helikopter Black Hawk ini ialah selama lima tahun.

Walaupun denda dikenakan ke atas syarikat tempatan tersebut yang mana ini merupakan amalan standard bagi sebarang kelewatan dalam kontrak kerajaan, cuma Tentera Darat tidak dapat menggunakan aset tersebut selagi belum dihantar.

Ini kerana Mindef memutuskan untuk menyewa helikopter Black Hawk sebagai langkah sementara sebelum perolehan helikopter sebenarnya dibuat.

Disebabkan Tentera Darat tidak mempunyai helikopter pelbagai guna setelah khidmat Nuri ditamatkan, maka Black Hawk menjadi pilihan alternatif.

Dua aset lain Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) iaitu helikopter Agusta 109LOH dan helikopter tempur ringan MD530G, kedua-duanya mempunyai fungsi berbeza.

Sepanjang ketiadaan Nuri, Tentera Darat tidak mempunyai aset untuk pengangkutan udara dan logistik, malah terpaksa bergantung pada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bayangkan, sepanjang hampir empat tahun khidmat Nuri ditamatkan tetapi Mindef belum membuat keputusan berhubung apakah helikopter yang paling sesuai untuk dibeli.

Tempoh empat tahun bukan pendek. Jika pun kerajaan memutuskan calon helikopter pengganti Nuri bagi Tentera Darat pada tahun ini bermakna sekurang-kurangnya tiga tahun diperlukan sehingga pesawat baharu diterima.

Dengan penugasan anggota Tentera Darat di sempadan yang pastinya memerlukan khidmat helikopter logistik untuk menghantar anggota dan bekalan, mod pengangkutan udara paling praktikal adalah helikopter.

Ini termasuklah tentera yang bertugas di perbatasan Sabah dan Sarawak.

Kita mempunyai berpuluh-puluh batalion infantri yang mana helikopter adalah satu keperluan sekiranya perlu atur gerak yang pantas.

Itu belum mengambil kira keperluan operasi dan latihan pasukan lintas udara 10 Briged Para. Selain melaksanakan terjun payung, operasi secara heliborne juga penting mengikut kesesuaian taktikal.

Persoalannya ialah apakah langkah yang sepatutnya diambil oleh Mindef sebagai tindakan segera memandangkan keperluan helikopter pengangkut adalah penting kepada Tentera Darat?

Helikopter pengangkut adalah keperluan dan Tentera Darat memerlukan kuda udara.

#AirTimes #kolumnis #BlackHawk #TenteraDarat

Related Articles

Leave a Reply