PUTRAJAYA, 2 OGOS – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Doha, Qatar bagi menghadiri pengebumian Ismail Haniyeh.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Timbalan Menteri Dalam Negeri akan diiringi oleh Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan para pegawai daripada Kementerian Dalam Negeri.
“Timbalan Menteri Dalam Negeri dan delegasi akan menyertai solat jenazah di Masjid Imam Muhammad ibn Abd al-Wahhab di Doha selepas solat Jumaat, 2 Ogos 2024
“Jenazah Almarhum Ismail Haniyeh akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Founding Imam di bandar Lusail,” kata kenyataan itu.
Wisma Putra turut menegaskan pendirian Malaysia yang terus mendukung perjuangan Palestin.
“Malaysia akan terus bersolidariti dengan ahli keluarga, kepimpinan dan rakyat Palestin,
“Penderitaan dan pengorbanan rakyat Palestin yang tidak berbelah bahagi adalah epitome kehidupan Almarhum Ismail Haniyeh yang telah memberikan keluarga, nyawa dan jiwanya dalam perjuangan untuk kebebasan, keamanan dan keadilan ke arah merealisasikan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka,” tegas Wisma Putra. – airtimes.my
#AirTimes #Semasa #WismaPutra