Dalam dunia yang sedang didominasi oleh era digitalisasi, teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang pesat, menghasilkan pelbagai peralatan dan aplikasi yang mampu mengurangkan dan menggantikan pekerjaan manusia secara perlahan. Menurut kajian yang dilaksanakan oleh Microsoft dan Linkedln, 75% profesional pengetahuan menggunakan AI ditempat kerja, dan hampir separuh mula menggunakannya dalam tempoh 6 bulan lalu. Pengguna melaporkan penjimatan masa (90%), memberi fokus pada tugas penting (85%), meningkatkan kreativiti (84%) dan mendapat kepuasan kerja yang tinggi (83%). Justeru, tidak dinafikan teknologi kecerdasan memberi impak besar dalam sektor pekerjaan.
Umum sedia maklum Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim telah melancarkan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Menurut Penyelidik Pusat AI dan Robotik UTM Prof Dr Ahmad Athif Mohd Faudzi, Hala Tuju Bakat AI Malaysia 2024-2030 meliputi perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang dibantu dengan penubuhan FAI yang menawarkan program Sarjana Muda AI dengan kemasukan pertama pelajar pada Oktober tahun ini.
Manakala penubuhan Konsortium AI Malaysia (MAIC) pula mengambil kira cakupan pakar semasa dari pelbagai universiti dan industri dalam bidang AI serta bidang-bidang berkaitan untuk memberi nasihat, kepakaran dan juga sumbangan kepada pembangunan bakat dalam bidang AI.
Dalam pada itu, pelancaran Malaysia Artificial Intelligence Nexus, pada 10 Mei 2024 membuka dimensi baru perbincangan mengenai bagaimana masyarakat berdepan realiti dan cabaran berkaitan kemajuan teknologi ini. Inisiatif ‘AI Untuk Rakyat’ bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang teknologi itu dan AI Sandbox 2024 menyasarkan penubuhan 900 syarikat pemula AI dan 13,000 bakat baharu menjelang 2026. Inisiatif-inisiatif ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memacu perkembangan AI di negara ini.
Sementara itu, memanfaatkan AI dalam menangani cabaran keselamatan global memerlukan pelan strategi nasional dan hala tuju ke arah memperkukuhkan keselamatan negara. Pembangunan negara melalui penyelesaian AI yang inovatif mampu memangkin sistem pertahanan Malaysia dalam pelbagai cara. Selain meningkatkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam persekitaran operasi multi domain. Teknologi AI menyumbang kepada keberkesanan operasi ketenteraan dalam pelbagai spektrum. Secara amnya, AI membolehkan pembangunan autonomous drones, kenderaan dan sistem senjata yang mampu mengurangkan keperluan human operators di kawasan berbahaya.
AI membantu dalam menganalisis data yang besar daripada sensors, satelit dan sumber lain, seterusnya memberikan real-time insights kepada Komander untuk membuat keputusan dengan lebih tepat. Maklumat perisikan yang kredibel melalui teknologi ini membantu Komander memahami persekitaran operasi dengan lebih komprehensif. Hybrid Insect Micro-Electro-Mechanical Systems (HI-MEMS) yang lebih efektif dan canggih meningkatkan keupayaan mengumpul maklumat, memantau ataupun mengesan ancaman.
Keupayaan ketenteraan juga mampu dipertingkatkan dengan penggunaan sistem robotik untuk memusnahkan bom, pemantauan dan pengawasan di medan perang. Selain itu, sistem persenjataan yang menggunakan teknologi AI mampu meningkatkan pengesanan dan ketepatan sasaran. Aset ketenteraan yang dilengkapi dengan sistem persenjataan yang mampu mengesan sasaran dan ancaman dengan tepat, pantas dari jarak yang jauh mengurangkan risiko kecederaan dan kehilangan nyawa anggota tentera. Sistem laser yang mempunyai frekuensi paling ekstrim digunakan bagi tujuan memintas peluru berpandu atau roket musuh samada di udara dan laut.
Dalam pada itu, keselamatan rangkaian dan infrastruktur negara mampu dipertahankan daripada ancaman siber dengan sistem berteknologi AI. Dalam aspek senggaraan dan sokongan logistik pula, teknologi AI boleh meramalkan kerosakan peralatan dengan lebih cepat, sekali gus memperkemaskan jadual penyelenggaraan dan mempertingkatkan kesiapsiagaan.
Selain itu, keadaan berbahaya di medan perang menimbulkan pelbagai cabaran dalam memberikan rawatan perubatan kepada mereka yang cedera. Penggunaan AI dalam situasi yang kritikal membantu dalam menganalisis medan perang dan seterusnya menawarkan cadangan untuk tindakan yang paling efektif bagi operasi yang melibatkan search and rescue (SAR). Manakala, simulasi berasaskan teknologi AI membolehkan senario latihan yang realistik digunakan dalam membantu anggota tentera untuk memudahkan kefahaman dan mempertingkatkan kemahiran mereka dalam persekitaran yang kondusif.
Mengambil contoh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Amerika Syarikat (AS) pada masa kini sedang meneroka teknologi AI bagi melatih pegawai yang menguruskan permohonan status pelarian di negara itu. DHS melatih mesin yang berperanan sebagai pelarian supaya pegawai boleh membuat latihan menemubual mereka. Tidak mustahil juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadaptasi teknologi AI dalam konteks latihan atau teaching solution agar subjek seperti Taktik, Military Appreciation Process (MAP), Joint Intelligence Preparation of the Operation Environment (JIPOE) dan Joint Military Appreciation Process (JMAP) mampu dikuasai dengan efektif oleh semua peringkat pegawai dan anggota
Namun begitu, penggunaan AI dalam konteks ketenteraan menimbulkan kebimbangan etika dan undang-undang, iaitu mengenai tanggungjawab, keterbukaan, dan kemungkinan persenjataan autonomi membuat keputusan kritikal tanpa penglibatan manusia. Faktor-faktor ini memerlukan pertimbangan dan pengawasan yang teliti untuk menjamin penggunaan AI yang teliti dalam peperangan. Keghairahan mengasimilasi teknologi ini perlu dilengkapi dengan persiapan dalam menghadapi cabaran yang bakal mendatang.
Dalam konteks keselamatan, teknologi ini turut berpotensi menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara. Sebagai contoh hasil manipulasi AI yang berlaku di Filipina apabila Pejabat Komunikasi Presiden (PCO) mengesan kandungan pada platform penstriman video popular yang didakwa mengandungi arahan daripada Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr. untuk melancarkan peperangan dengan sebuah negara. Insiden ini membuktikan teknologi AI boleh dimanipulasikan oleh pihak berkepentingan untuk mengubah suai kandungan digital dengan objektif tertentu. Ancaman deepfake turut dilaporkan berlaku di negara jiran membabitkan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong serta ahli politik terkemuka negara itu. Oleh demikian, keperluan satu peraturan atau undang-undang khusus bagi mengawal selia teknologi AI adalah wajar berikutan kewujudan pelbagai ancaman akibat salah guna cabang teknologi ini. -airtimes.my