Insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo pada 2013 tidak sesekali dilupakan, malah kekal dalam ingatan rakyat apatah lagi pasukan keselamatan.
Pantas masa berlalu, maka perlu untuk sejarah itu didokumentasikan sebagai catatan ‘hitam putih’ untuk ingatan generasi akan datang.
Atas kepentingan itu, Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Arkib Negeri Sabah mengambil inisiatif mendokumentasi dan diterbitkan sebagai buku.
Buku berjudul ‘Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am: Membanteras Pengganas dan 5th Column di Kampung Tanduo Lahad Datu’ merupakan satu catatan penting.
Ia diterbitkan dalam tiga jilid dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,312 muka surat.
Majlis perasmian dan pelancaran buku ini disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hj. Hajiji Hj. Noor di Menara Kinabalu, di sini.
Hadir sama Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Turut hadir ialah Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos; Komander Bridged PGA Sabah, SAC Datuk Abdul Rani Alias dan Pengarah Jabatan Arkib Negeri Sabah, Shirley Sion.
Mengambil masa lebih lapan bulan untuk disiapkan, ini termasuk mendapatkan kisah sebenar daripada pegawai dan anggota yang terlibat dalam Ops Daulat.
Semasa insiden di Tanduo, Briged Sabah PGA turut terlibat secara langsung setelah pertempuran meletus antara pengganas Sulu dengan pasukan 69 Komando.
Justeru, buku ini mencatatkan operasi keselamatan ketika pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo yang menjadi contoh keberanian pasukan keselamatan.
Peranan PGA dalam insiden tersebut sangat dihargai oleh rakyat Malaysia, kerana tanpa keberanian dan pengorbanan mereka, kedaulatan negara terancam.
Menerusi penerbitannya, segala peristiwa yang berlaku, jasa dan pengorbanan khususnya para perwira yang telah gugur tidak dilupakan.
Keperwiraan mereka sentiasa dikenang serta dihargai generasi akan datang.
Pada tahun 2021, Markas 69 Komando Pasukan Gerak Khas, Kem Ulu Kinta melancarkan buku khas menceritakan Pertempuran Lahad Datu, Sabah yang melibatkan pasukan tersebut.
Buku berjudul, ‘69 Komando : Lahad Datu 2013’ itu memberi gambaran terperinci yang belum pernah ditulis atau didedahkan oleh mana-mana pihak yang terlibat.
Ia juga memberi gambaran terperinci bagaimana peristiwa tersebut berlaku termasuk rentetan cemas pertempuran melibatkan 69 Komando di Kampung Simunul, Semporna. – airtimes.my
#AirTimes #Keselamatan #LahadDatu #PGA #VAT69