Home SemasaGlobal“Pembunuhan Ismail Haniyeh adalah tindakan pengecut” – Mahmoud Abbas

“Pembunuhan Ismail Haniyeh adalah tindakan pengecut” – Mahmoud Abbas

Mahmoud Abbas dan Ismail Haniyeh baharu sahaja meterai perjanjian perpaduan tamatkan sengketa politik 17 tahun pada minggu lalu

by M.Daim
A+A-
Reset

RAMALLAH, 31 JUL – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengutuk serangan yang berlaku di Tehran sehingga menyebabkan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh terbunuh.

Pendirian Presiden Palestin itu dinyatakan oleh pihak pejabatnya dalam satu kenyataan.

“Presiden Mahmoud Abbas mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh,

“Pembunuhan tersebut disifatkan sebagai tindakan pengecut dan akan membawa ketegangan yang lebih teruk,” kata kenyataan Pejabat Mahmoud Abbas yang disiarkan oleh media Palestin.

Dalam kenyataan yang sama, Mahhmoud yang juga pemimpin Fatah menyeru semua warga Palestin untuk bersatu, bersabar dan berdiri teguh terhadap penjajahan Israel.

Mahmoud Abbas dan Ismail Haniyeh sebelum ini bersengketa berikutan krisis politik Fatah-Hamas yang berlaku pada tahun 2007. Pada ketika itu, Mahmoud telah memecat Ismail dari jawatan Perdana Menteri Palestin pada ketika itu.

Persengketaan politik kedua-dua pemimpin itu berakhir apabila mereka telah bersetuju untuk meterai perjanjian perpaduan di China pada 23 Julai lalu. Perjanjian perpaduan itu telah dibentuk melalui rundingan selama beberapa hari dengan China yang bertindak sebagai pengantara.

Perjanjian perpaduan itu turut dikenali sebagai Deklarasi Beijing yang menggariskan kerjasama antara Fatah dan Hamas selepas pertumpahan darah di Gaza semenjak 7 Oktober tamat.

Deklarasi itu turut disifatkan sebagai tamatnya sengketa politik antara Hamas dan Fatah yang telah berlarutan untuk selama hampir 17 tahun. – airtimes.my

#AirTimes #Global

Related Articles

Leave a Reply