Home Semasa Insiden Tehran: Ada unsur sabotaj, mahu gagalkan usaha tegakkan hak Palestin – Anwar

Insiden Tehran: Ada unsur sabotaj, mahu gagalkan usaha tegakkan hak Palestin – Anwar

Perdana Menteri jelaskan kematian Ismail Haniyeh sebagai satu kehilangan besar

by M.Daim

PUTRAJAYA, 31 JUL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa terdapat pihak yang mahu menggagalkan perjanjian damai bagi kembalikan hak Palestin.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa perbualan telefon dengan Ahli Biro Politik Hamas, Dr Basem Naim, hari ini.

“Beberapa hari yang lalu, maklumat terkini dari saudara-saudara kita di Turkiye, dan jelas bahawa saudara Almarhum Ismail adalah tonggak perjuangan ini, dan salah satu hal yang diperjuangkan adalah perjanjian damai bagi mengembalikan hak rakyat Palestin,

“Jelas ada unsur sabotaj. Mereka tidak mahu perjanjian damai ini berjaya,” kata Perdana Menteri semasa perbualan dengan Basem.

Dalam panggilan yang sama, Anwar menyatakan berita kematian Ismail Haniyeh diterima oleh beliau semasa mengadakan mesyuarat kabinet.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk menyatakan perkara ini, tetapi kami berada dalam mesyuarat Kabinet,

“Seluruh ahli Kabinet terkejut dengan kegilaan rejim Zionis Israel yang bertindak menyerang di kediaman, menyeksa mereka, dan menganggap perang dan keganasan ini boleh berakhir dengan cara sedemikian,” jelas Perdana Menteri.

Terdahulu, pihak Hamas dan Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) telah mengesahkan kematian Ketua Sayap Politik Hamas, Ismail Haniyeh dalam satu serangan di Tehran. Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 2 pagi waktu Iran.

Ismail Haniyeh berada di Tehran bagi menghadiri majlis rasmi dengan Presiden Iran baharu.

Anwar Ibrahim menyatakan rasa duka atas kematian Ismail Haniyeh yang disifatkan sebagai “seorang sahabat yang akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin”.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas saudara Ismail Haniyeh hari ini,

“Pembunuhan ini ternyata sangat tragik dan kejam yang jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza yang telah meragut lebih dari 40,000 nyawa,

“Pembunuhan besar-besaran ini hanya boleh berlaku dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum,

“Hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan sahaja yang tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel bagi menghentikan pembantaian,

“Rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya, dan saya amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan saudara Ismail,

“Mereka yang telah mengkritik saya saat ketemu saudara Ismail sebelum ini telah gagal menghargai keinginan mendalam almarhum untuk sebuah Timur Tengah yang aman dan pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan,” kata Anwar Ibrahim di akaun media sosial rasmi beliau. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?