Home Diskusi PADU dan BUDI MADANI – Sama tapi tak serupa

PADU dan BUDI MADANI – Sama tapi tak serupa

by Zulhaizi Rosdi

Sepertimana diketahui, Januari lalu pihak kerajaan telah memperkenalkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi menyelesaikan masalah golongan miskin tercicir.

Kerajaan baru-baru ini juga telah mewujudkan Program Bantuan Subsidi Madani (BUDI MADANI) yang merupakan program penyasaran semula subsidi diesel.

Di sini, terdapat segelintir masyarakat yang kurang jelas terhadap fungsi sistem PADU dan Budi Madani.

Kedua-dua program yang diperkenalkan ini adalah dua entiti yang berlainan, malah inisiatif yang diterima rakyat juga adalah berbeza.

Walau bagaimanapun, kedua-dua program yang dilancarkan ini mempunyai misi yang sama iaitu dapat membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat.

Seperti yang kita ketahui, PADU merupakan sistem pangkalan data berpusat dan bersepadu berkaitan individu dan pemastautin tetap serta isi rumah rakyat Malaysia.

Pelaksanaan PADU bertujuan untuk menambah baik perancangan dasar dan pelaksanaan program berpandukan data bagi membolehkan rakyat menerima manfaat yang sewajarnya.

PADU bukan hanya dapat dimanfaatkan dengan penyasaran semula subsidi, tetapi menerusi penganalisian data yang komprehensif akan membolehkan kerajaan menambah baik perancangan dan pelaksanaan program intervensi dalam menangani isu sosioekonomi.

Menerusi PADU, kerajaan juga akan menggunakan pendekatan pendapatan baharu iaitu pendapatan boleh guna bersih, perbelanjaan asas kehidupan wajar mengikut negeri berbanding pendekatan pendapatan berdasarkan kategori.

Berdasarkan data yang diperoleh, lebih 10.8 juta rakyat sudah mula mengemas kini profil mereka dalam sistem PADU.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan kira-kira 200, 000 berbanding 10.61 juta yang direkodkan pada Mac lalu.

Pencapaian yang diperoleh ini sekaligus menunjukkan kekukuhan PADU dalam memberi sevis kepada orang ramai untuk mengemas kini maklumat sosio ekonomi masing-masing.

Beralih kepada program Budi Madani, sistem yang baru diperkenalkan ini pula merupakan satu platform penyasaran semula subsidi hanya kepada yang memerlukan bagi membendung kenaikan kos sara hidup akibat penarikan subsidi diesel.

Data yang diperoleh daripada program ini merupakan data individu pemilik kenderaan pengangkutan darat awam, pengangkutan darat bangunan, kenderaan persendirian milik individu dan golongan petani kecil serta pekebun kecil komoditi di Semenanjung Malaysia.

Terdapat tiga kategori penerima bantuan iaitu BUDI MySubsidi Diesel, BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Individu.

Penerima yang layak di bawah kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi, akan menerima RM2,400 setahun atau RM200 sebulan.

Pada masa kini, kerajaan giat melaksanakan pendigitalan perkhidmaan awam bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan termasuk inisiatif pengintegrasian data dalam pelbagai peringkat kerajaan.

Platform Budi Madani merupakan antara contoh pengintegrasian data di mana ia menggunakan semua pangkalan data sedia ada kerajaan bagi proses verifikasi dan validasi pemohon.

Dalam masa sama, maklumat data daripada Budi Madani ini kemudiannya akan dikongsi dan diintegrasi ke dalam PADU dari semasa ke semasa bagi menambah baik data sedia ada di PADU.

Related Articles

Leave a Reply