Home Pertahanan dan Keselamatan Kolumnis: Pembatalan NGPV II , kegagalan LCS wariskan masalah kekurangan kapal pada armada TLDM

Kolumnis: Pembatalan NGPV II , kegagalan LCS wariskan masalah kekurangan kapal pada armada TLDM

by Zaki Salleh

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tentang status aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) walaupun pahit untuk ditelan, realitinya adalah kebenaran yang mesti diakui.

Isu tentang aset-aset usang armada laut negara umpama ‘rahsia terbuka’ apabila ia sering diketengahkan media dengan harapan pihak pembuat keputusan membuka mata.

Ini juga sebenarnya adalah isu lama yang telah berlarutan lebih 20 tahun lalu sejak gagalnya projek kapal tempur generasi baharu (NGPV) sebelum terpaksa diselamatkan kerajaan.

Apabila projek NGPV tidak mengikut jadual, hasrat untuk membina 27 buah kapal kesemua diubah.

Projek NGPV dirancang oleh kepimpinan TLDM sebelum itu sebagai persediaan menggantikan bot-bot peronda era 1960an dan kapal serang laju era 1970an.

Ini menunjukkan bagaimana kepimpinan pada masa itu telah memandang jauh ke hadapan.

Malangnya, NGPV Batch II tidak disambung, malah kapal yang sepatutnya mempunyai sistem persenjataan ampuh hanya dilengkapi selaras meriam.

Umpama jatuh ditimpa tangga, nasib TLDM bertambah parah apabila projek kapal tempur pesisir (LCS) juga gagal lalu memanjangkan tempoh menunggu untuk TLDM mendapatkan kapal perang baharu.

Apabila kepimpinan TLDM membentangkan pelan 15 to 5 enam tahun lalu tetapi tiada kapal sepertimana dalam pelan tersebut diterima menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.

Sebagai negara maritim memang sepatutnya negara mempunyai armada laut yang dibanggakan dan digeruni.

Ini bukan soal hendak berperang dengan siapa tetapi bagi menjaga perbatasan samudera khususnya ekonomi maritim dan laluan perdagangan negara.

Dianggarkan negara kerugian RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun selepas hasil lautnya dirompak nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Mantan Panglima Tentera Laut, Laksamana (B)  Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany tanpa berselindung beberapa kali menyuarakan kebimbangan beliau tentang isu aset TLDM.

Sehingga hari persaraan pada Januari 2023, Mohd Reza tetap berharap agar kepimpinan negara melihat isu aset usang secara serius.

Justeru, LKAN dilihat hanya sebagai dokumen rasmi yang mengiyakan segala kegusaran yang pernah dibangkitkan termasuk media berhubung perlunya TLDM dilengkapi dengan kapal perang tercanggih.

Semakan audit mendapati 26 kapal atau 53.1 peratus daripada keseluruhan 49 kapal melebihi usia guna antara sembilan hingga 25 tahun dan masih digunakan untuk tujuan operasi.

Disebabkan masih boleh digunakan ini, kapal-kapal tua tersebut terpaksa dilenjan atau dalam bahasa operasi digunakan dalam tempo maksimum.

Kapal-kapal tua ini pula dikendalikan oleh pegawai dan kru yang belum lahir semasa kapal tersebut memasuki perkhidmatan TLDM kira-kira 40 dan 50 tahun lalu.

Sejauh mana kudrat kapal-kapal ini sekiranya terpaksa bertempur dengan musuh atau berdepan ancaman konflik di laut?

Jujurnya juga, isu aset-aset usang TLDM bukan kesilapan mana-mana satu pihak tetapi banyak pihak yang saling berkaitan di peringkat kementerian dan paling tinggi pada pembuat keputusan.

TLDM sebagai pengguna walaupun mempunyai suara kecil tetapi mengikut sepenuhnya kepada pembuat keputusan.

LKAN juga mendedahkan TLDM hanya menerima 4 kapal daripada 18 buah yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Daripada jumlah itu, sebanyak 9 lagi dalam proses pelaksanaan perolehan daripada keseluruhan 6 kapal tempur pesisir (LCS), 10 kapal misi pesisir (LMS) dan dua kapal sokongan pelbagai guna (MRSS).

Menoleh 24 tahun lalu, situasinya berbeza apabila TLDM merupakan angkatan laut kedua termoden di rantau ini selepas Singapura.

Dua frigat kelas Lekiu yang diterima pada tahun 2000 telah melonjakkan kuasa tempur TLDM apabila buat pertama kali memiliki keupayaan peperangan tiga dimensi.

Melengkapi perolehan itu ialah pembelian enam buah helikopter Super Lynx 300 yang boleh melancarkan peluru berpandu antikapal Sea Skua dan memikul operasi memusnahkan kapal selam.

Situasi hari ini menyebabkan TLDM tiada pilihan, lantas memaksa armada itu bergantung kepada aset-aset sedia ada.

Adakah nasi sudah menjadi bubur, lalu bubur hendak dijadikan nasi impit. Bunyinya kedengaran lucu tapi sebenarnya tidak. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #kolumnis

Related Articles

Leave a Reply