Kehadiran kapal TCG KINALIADA seolah-olah memberikan bayangan bagaimana rupa dan reka bentuk akhir program Kapal Misi Pesisir Batch Kedua (Littoral Mission Ship Batch 2, LMSB2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Walaupun rundingan perolehan kapal ini belum dimuktamadkan, kelas ADA telah pun dinyatakan sebagai pilihan untuk program tersebut.
Pun begitu, konfigurasi untuk TLDM mungkin akan berbeza dari kapal yang sedang dioperasikan oleh Tentera Laut Turkiye.
Mendalami Milli Gemi Projesi, projek keupayaan tempur Tentera Laut Turkiye
TCG KINALIADA merupakan kapal keempat dan terakhir untuk korvet kelas ADA yang dihasilkan oleh STM untuk Tentera Laut Turkiye. Pembinaan kapal ini adalah selaras dengan Program MILGEM. Program MILGEM membawa maksud Projek Kapal Nasional (Milli Gemi Projesi) yang digariskan oleh Tentera Laut Turkiye.
Program ini bermatlamat untuk menghasilkan kapal korvet pelbagai peranan, 10 peronda luar pesisir (OPV), 9 frigat dan 8 pemusnah (destroyer). Ini bagi memenuhi keperluan operasi tentera laut Turkiye seperti tinjauan, pemantauan, amaran awal, peperangan bawah permukaan/anti kapal selam, peperangan permukaan dan juga pertahanan udara serta operasi amfibi.
Di bawah projek ini, kapal kelas ADA telah dipilih untuk mengisi keperluan korvet dan frigat. Kapal kelas ISTANBUL untuk frigat di bawah program MILGEM merupakan model ADA yang diperbesarkan dari segi dimensi dan saiz.
Mengenali ADA dan TCG KINALIADA
Nama ADA adalah bermaksud pulau dalam bahasa Turkiye. Sudah tentu, nama keempat-empat kapal kelas ini adalah bersempena pulau-pulau yang terdapat di negara itu. Lebih menarik, kesemua kapal kelas ini menggunakan nama 4 pulau utama yang terdapat dalam Gugusan Kepulauan Princes (rens Adalari) yang terletak di wilayah Istanbul, berhampiran Selat Bopshorus.
TCG KINALIADA merupakan kapal keempat dan yang terakhir kelas ADA yang dibina oleh Istanbul Naval Shipyard di bawah program MILGEM.
Salah satu fakta menarik mengenai ADA ialah konsep rekaan kapal ini adalah mempunyai persamaan dengan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship) kelas Freedom Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy). Walaupun mempunyai persamaan, keupayaan dan persenjataan ADA jelas jauh berbeza dengan LCS US Navy.
Selain itu, kapal ini turut direka untuk melaksanakan operasi rondaan di kawasan lautan lepas dan juga mempunyai keupayaan menggempur kapal selam.
Pembinaan kapal ini bermula pada 8 Oktober 2015 sebelum dilancarkan pada 3 Julai 2017. TCG KINALIADA melakukan pelayaran ulungnya pada 25 Mac 2019 sebelum ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut Turkiye pada 29 September 2019.
Kapal ini memainkan peranan sebagai kapal korvet yang memberikan tumpuan kepada keupayaan peperangan 3 dimensi – permukaan, bawah permukaan dan juga pertahanan udara.
Menariknya mengenai kapal ini, ia merupakan platform pertama yang mengoperasikan misil anti permukaan ATMACA yang dihasilkan oleh ROKETSAN. Ujian penembakan ATMACA berjaya dilaksanakan oleh kapal ini pada tahun 2021. Semenjak itu, Tentera Laut Turkiye melakukan perolehan misil ini bagi menggantikan Harpoon.
ATMACA berupaya untuk menggempur sasaran yang berada dikedudukan melebihi 220 kilometer.
Selain ATMACA, TCG KINALIADA turut dilengkapi dengan sistem persenjataan lain. Antaranya, meriam 76mm OTO MELARA Super Rapid. Siri Super Rapid (Super Rapido) mempunyai kadar tembakan sebanyak 120 butir seminit, walaupun ianya telah dibangunkan pada era 1980-an.
TCG KINALIADA mengoperasikan 2 unit senjata kawalan jauh (Remote Controlled Weapon, RCW) STAMP yang dihasilkan oleh ASELSAN. Ia merupakan sistem persenjataan yang dilengkapi dengan mesingan 12.7mm dan dilengkapi dengan sistem penderia (sensor) laser, Infra Merah (IR), TV serta elektro-optikal.
Bagi menghadapi ancaman dari udara, kapal ini dilengkapi dengan RAM PDMS (RIM-116 RAM). Sistem persenjataan ini direka oleh General Dynamics (kini Raytheon) dan Diehl Defence. Pada permulaan penciptaan sistem persenjataan ini, ia dihasilkan bagi menangani ancaman serangan misil anti permukaan. Namun, perubahan teknologi dan keadaan semasa konflik masa kini telah menyaksikan penggunaan sistem ini dalam membendung ancaman dron.
Pada 27 Februari 2024, kapal Tentera Laut Jerman, FGS HESSEN dilaporkan telah menembak jatuh dron kamikaze yang dilancarkan oleh Houthi di Laut Merah dengan menggunakan RIM-116. Jarak serangan sistem pertahanan udara ini adalah sejauh 9 kilometer.
Bagi membendung ancaman bawah permukaan, TCG KINALIADA dilengkapi dengan Torpedo Mark 46 atau Mark 54. Kedua-dua torpedo ini dihasilkan oleh Amerika Syarikat. Kedua-dua torpedo ringan ini dilaporkan berupaya untuk menggempur sasaran dalam lingkungan 10 kilometer. Apa yang membezakan Mk. 46 dan Mk. 54 adalah teknologi untuk mengesan serta menjejak sasaran.
Dalam menghadapi ancaman serangan torpedo oleh kapal selam, TCG KINALIADA dilengkapi dengan sistem pertahanan diri. Sistem ini berfungsi dengan mengesan kehadiran torpedo dan memberikan panduan kepada kapal untuk melakukan tindakan selanjutnya.
Sistem ini merupakan sebahagian daripada peralatan penderia (sensor) yang disatukan di bawah sistem pengurusan tempur (CMS) ADVENT yang terdapat pada TCG KINALIADA, yang merupakan kapal pertama untuk menggunakan sistem ini.
CMS ADVENT berupaya untuk melakukan pemprosesan maklumat ancaman dan memberikan maklumat tindak balas yang bersesuaian dengan menggunakan persenjataan sedia ada. Selain itu, sistem ini mempunyai infrastruktur rangkaian yang membenarkan seseorang operator untuk mengoperasikan senjata serta penderia pada kapal lain.
TCG KINALIADA berupaya untuk menampung 93 anak kapal dengan had maksimum 106 orang. Kapal bersesaran 2,465 ton ini mempunyai hangar untuk menampung pengoperasian helikopter atau pesawat tanpa pemandu (UAV).
Kapal yang dikuasai dengan turbin gas dan enjin diesel mampu untuk berlayar sejauh 7,400 kilometer (4,000 batu nautika). Selain itu, kapal sepanjang 99.56 meter ini mampu untuk melakukan pelayaran selama 21 hari.
ADA dalam pasaran eksport antarabangsa
Â
Selain Turkiye, kapal kelas ADA turut menjadi pilihan Pakistan dan juga Ukraine.
Dalam Tentera Laut Pakistan, kapal kelas ini telah dipilih untuk pembinaan 4 buah kapal korvet kelas BABUR. Sementara itu, 2 buah lagi sedang dibina untuk Tentera Laut Ukraine iaitu – HETMAN IVAN MAZEPA dan HETMAN IVAN VYHOVSKYI.
Sekiranya rundingan perolehan ADA untuk LMSB2 TLDM berjaya, Malaysia menjadi negara ke-3 pasaran eksport Turkiye untuk menggunakan kapal kelas ini. Perolehan LMSB2 pula adalah sebahagian daripada Penjajaran Semula Pelan Transformasi 15-to-5 (Platform) untuk TLDM. Di bawah penjajaran ini, LMSB2 dirancang untuk mempunyai keupayaan kombatan yang lebih ampuh berbanding 4 buah LMS yang diperolehi sebelum ini. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #TeknologiPertahanan #ADA
