[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=K_xzpLO0qfQ[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 4 Feb – “Bersyukur sangat kerana kejayaan ini adalah sesuatu yang tidak dijangka,” luah Perajurit Muda Muhammad Ilham Ikhwan Shawal apabila dinobatkan sebagai Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik bagi siri 198/23.
Anak jati Kuala Lumpur berusia 22 tahun ini merangkul anugerah tertinggi tersebut berdasarkan prestasi dan pencapaian keseluruhan beliau sepanjang menjalani latihan Asas Ketenteraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA).
Perbarisan Tamat Latihan tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan pada 27 Januari lalu.
Menurut Muhammad Ilham, kegagalan ketika permohonan untuk menyertai Perajurit Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencuba mencari rezeki dalam bidang ketenteraan.
“Saya berminat dengan aktiviti luar dan hutan. Ia menjadi pendorong untuk saya menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM),
“Apabila dapat kenalan dari keluarga tentera yang bercerita tentang pekerjaan sebagai seorang tentera, ia juga menjadi pendorong untuk saya berminat kerjaya tentera ini,
“Sebelum ini pernah cuba tentera laut (TLDM), tetapi gagal. Kemudian cuba sertai Tentera Darat dan alhamdulilah rezeki saya disini,” jelasnya kepada Air Times baru-baru ini.
Sementara itu, ibu kepada Muhammad Ilham, Saadiah Sanip, 47 turut tidak menyangka anak sulungnya itu mampu mencapai tahap yang membanggakan mereka sekeluarga.
“Saya cukup bersyukur dan rasa bangga serta tak sangka anak mampu mencapai tahap sejauh ini. Dari mula memang dia (Muhammad Ilham) minat hendak masuk bidang tentera dan saya menyokongnya. Tapi saya tak sangka dia akan dapat penghargaan ini,
“Memandangkan dia sudah pilih jalan dia (memasuki tentera), saya berharap dia tidak akan pandang kebelakang semula dan terus maju dalam kerjaya demi masa depan dia dan negara,” jelasnya lagi.
Dalam masa yang sama, Shawal Darim, 54 turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada jurulatih-jurulatih yang membantu, melatih anaknya sehingga berjaya.
“Saya berasa syukur dan bangga dengan pencapaian yang diperolehi dalam latihan ini,
“Saya harap dengan pencapaian ini, dia akan dapat memberikan semangat dan motivasi kepada diri dia sendiri untuk lebih maju ke hadapan,” jelasnya. -airtimes.my