Home Semasa Pasangan suami isteri antara 3 diberkas cuba seludup RM1.2 juta dadah ke Miri

Pasangan suami isteri antara 3 diberkas cuba seludup RM1.2 juta dadah ke Miri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Pasangan suami isteri antara 3 individu diberkas di kawasan parkir kondominium di Sepang, pada 24 Januari lalu.

Ketiga-tiga suspek yang berusia 24 hingga 34 tahun terdiri daripada sepasang suami isteri dan seorang lelaki dipercayai menjadi keldai untuk membawa dadah bernilai RM1.2 juta ke Miri, Sarawak.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kira-kira jam 10.30 pagi.

“Pihak polis telah merampas 38 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 36.53 kilogram (kg),

“Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki pesawat ke Miri, Sarawak pada jam 12 tengah hari,” katanya dalam satu sidang media pada Selasa.

Beliau berkata, polis percaya dadah ini dibawa dari negara jiran sebelum dibungkus di kondominium yang disewa suspek dan usaha mengesan dalang masih dilakukan.

Menurutnya, aktiviti ini dipercayai adalah cubaan kali ketiga suspek membawa dadah ke Miri melalui KLIA yang dilakukan sejak pertengahan tahun lalu.

Semakan rekod lampau juga mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau iaitu satu kes dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Kesemua suspek telah ditahan reman selama 7 hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -airitmes.my

#semasa #airtimes #dadah #jenayah

Related Articles

Leave a Reply