KUANTAN, 30 Jan – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kuantan, selepas tamat tempoh lima tahun bersemayam di Istana Negara.
Pesawat khas membawa Seri Paduka berdua yang berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mendarat di Kuantan pada pukul 11.55 pagi.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut oleh anakanda Seri Paduka, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, kerabat diraja, dan barisan pemimpin kerajaan negeri, diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta ribuan rakyat negeri Pahang.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah seterusnya berangkat ke Pentas Diraja sebelum kawalan kehormatan mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ disusuli lagu Negaraku dan lagu negeri ‘Allah Selamatkan Sultan Kami’, dengan diiring tembakan meriam 21 das oleh Rejimen ke-7 Artileri Diraja, Kem Batu 3, Temerloh.
Al-Sultan Abdullah yang memakai ‘muskat’ iaitu pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong, kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama, diikuti bacaan doa oleh Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan persembahan ‘Hormat Diraja’ buat kali kedua serta lagu Negaraku dan Allah Selamatkan Sultan Kami. – Bernama
#semasa #DaulatTuanku #airtimes #Malaysia