Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan perkenal Veteran MyWIRA bantu veteran ATM bekerja lepas bersara

Kerajaan perkenal Veteran MyWIRA bantu veteran ATM bekerja lepas bersara

by Nurulhuda

GEORGE TOWN, 22 Jan – Kerajaan memperkenalkan inisiatif Veteran MyWIRA untuk membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memperoleh kerjaya baharu yang sesuai selepas menamatkan perkhidmatan mereka.

Inisiatif Veteran MyWIRA merupakan kerjasama pertama Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bersama Kementerian Pertahanan Malaysia menerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, sebanyak 500 padanan pekerjaan akan ditawarkan kepada veteran ATM pada tahun pertama program rintis itu dijalankan.

Menurutnya, usaha itu antara lain untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi dan bagi projek perintis tersebut sebanyak 500 peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji yang tinggi ditawarkan.

“Bagi projek perintis, Micron Memory Malaysia Sdn Bhd (Micron) iaitu sebuah syarikat yang meneraju ekosistem semikonduktor menjadi rakan industri dalam inisiatif tersebut akan menawarkan 25 peluang padanan kerja yang sesuai kepada veteran ATM dengan gaji RM2,900 hingga RM4,200 bergantung jenis pekerjaan,

“Inisiatif itu mempunyai potensi untuk diperluaskan dan kami sasarkan selepas dua tahun sebanyak 5,000 padanan pekerjaan bersama lebih ramai rakan industri lain, yang berkualiti dalam pelbagai bidang kepada para veteran ATM,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Veteran MyWIRA bersama Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahar di Pusat Konvensyen Spice Arena, hari ini.

Sebagai projek rintis, Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd. (Micron) yang merupakan sebuah syarikat yang meneraju ekosistem semikonduktor di negara ini menjadi rakan industri yang menyertai inisiatif tersebut dan akan memanfaatkan kemahiran unik veteran ATM untuk mengisi kekosongan jawatan dalam pasaran kerja

Sementara itu, Adly berkata, berdasarkan data daripada PERHEBAT seramai 3,000 hingga 5,000 anggota tentera dikesan tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas tidak lagi berkhidmat dalam ATM.

“Dalam pemantauan, kami mendapati secara keseluruhannya terdapat 24,000 anggota yang telah bersara, 19,000 bekas anggota telah dapat kita hubungi di mana seramai 3,000 hingga 5,000 daripadanya masih tidak berkerja,

‘”Usia mereka rata-rata dalam lingkungan 32 hingga 40 tahun dan kebanyakan mereka berhenti dengan skim tidak berpencen,” katanya. – airtimes.my

#pertahanan #airtimes #MyWira #veteranATM

Related Articles

Leave a Reply