Tercetusnya Perang Dunia Pertama secara radikal telah mengubah keadaan dari segi perkembangan teknologi senjata api dan juga kenderaan perisai. Kebanyakan kenderaan perisai dihasilkan daripada percubaan untuk membuat kereta kebal yang mampu bergerak di luar jalan raya, di atas tanah yang pecah, dan merentas kawat berduri.
Kereta kebal Mark V yang dikenali sebagai MK V atau “kapal darat”, merupakan kereta kebal yang diperkenalkan oleh British semasa Perang Dunia Kedua. Kenderaan tempur berperisai itu telah dihasilkan oleh William Tritton dan Walter Gordon pada sekitar tahun 1917 di Metropolitan , Birmingham.
Mark V pertama kali digunakan ketika Pertempuran Hamel pada Julai 1918, kemudian Pertempuran Amiens pada Ogos tahun yang sama telah diketuai oleh seorang pegawai muda iaitu Whittenbury. Mark V memainkan peranan utama ketika mengatasi masalah parit di Laluan Hindenburg, Jerman.
Sebanyak 288 Mark V terlibat bersama dengan Mark A Whippet dalam pertempuran Amiens dan telah menghasilkan kejayaan dalam menentang Jerman. Mark V juga terlibat dalam bahagian ketika melakukan 8 serangan besar sehingga gencatan senjata. Pada masa yang sama, tentera Kanada dan Tentera Amerika Syarikat juga turut berlatih menggunakan Mark V.
Kenderaan perisai Mark V pada ketika itu agak sesuai untuk merentasi bentuk muka bumi yang tidak rata. Reka bentuk Mark V sangat membantu dalam melintasi parit dalam, lebar dan juga tanah yang berlumpur.
Menjelang pada tahun 1918, sejumlah besar kereta kebal Mark V telah dihantar ke Rusia dan Amerika Syarikat dalam pertempuran menentang Kesatuan Soviet dalam perang Saudara Rusia.
Mark V membuka era baru dalam taktik perang dengan kemampuannya dalam menembusi pertahanan musuh dan memberikan bantuan sokongan tembakan kepada pasukan infantri.
Senjata utama Mark V terdiri daripada dua buah meriam yang berkaliber 57mm dan 4 mesingan Hotchkiss dari 6 hingga 12mm. Perlindungan perisai kenderaan tersebut adalah 16mm ketebalannya di hadapan dan 12mm ketebalan pada bahagian sisi.
Kenderaan ini mempunyai panjang 8.05m, lebarnya pula 3.91m dan mempunyai berat sebanyak 33 tan. Kenderaan perisai itu juga dilengkapi enjin petrol Ricardo 6 silinder 150hp serta berkeupayaan dipandu secara berterusan selama 10 jam.
Mark V memainkan peranan penting dalam mengubah dinamik peperangan dan membuktikan kenderaan perisai tersebut sebagai inovasi teknologi ketenteraan yang sangat efektif serta signifikan pada masanya. -airtimes