Home Semasa Polis rampas dadah bernilai RM19 juta di Perlis

Polis rampas dadah bernilai RM19 juta di Perlis

by Nurulhuda

KANGAR, 15 Jan – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas dadah jenis syabu seberat 528 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM19 juta serta menahan 4 orang suspek dalam satu serbuan di Kawasan Hutan Simpan Persekutuan, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Komissioner Polis Datuk Sri Mohd Kamarudin Md Din berkata, hasil pemeriksaan di tempat penyimpanan tersebut, pihak polis telah menjumpai 20 guni yang berjahit didalamnya terdapat 480 bungkusan plastik teh cina ‘Guang Ying Wang’ disyaki dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, hasil soal siasat JSJN Perlis terhadap suspek sebelum ini telah membawa kepada penemuan lokasi penyimpanan dadah tersebut di kawasan hutan simpan berkenaan.

“Guni tersebut diletakkan di dalam troli besi yang ditutupi ranting dan daun bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa,

“Hasil serbuan ini, kita merampas dadah jenis methamphetamine seberat 528 kilogram yang dianggarkan bernilai RM19 juta bersama aset seperti kereta, motosikal, jam tangan dan pelbagai lagi berjumlah RM515,545,” jelasnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.

Susulan penahanan suspek terlibat, Mohd. Kamarudin menjelaskan, pihaknya turut menahan 3 lagi lelaki tempatan berusia lingkungan 21 hingga 42 tahun dipercayai terlibat dengan kes tersebut.

Menurutnya, modus operandi digunakan pihak sindiket adalah dengan menggunakan lorong-lorong tikus di kawasan hutan simpan Persekutuan malah mereka juga dipercayai telah aktif sejak tahun lalu.

“Lokasi dadah berkenaan ditemukan terletak kira-kira 2 kilometer dari jalan utama dan 3 kilometer dari kawasan sempadan negara,

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan dapat digunakan oleh kira-kira seramai 2.6 juta orang penagih,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Mohd. Kamarudin berkata, hasil semakan dilakukan juga mendapati suspek terlibat mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut akan dijalankan selepas ini.

“Kesemua suspek ditahan reman selama 7 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,”ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah kepada pihak polis dengan segera. -airtimes.my

#semasa #airtimes #PDRM #dadah #Perlis

Related Articles

Leave a Reply