KUALA LUMPUR, 15 JAN – Vietnam dan Malaysia memperhebat kerjasama dalam sektor pertahanan dan keselamatan untuk terus memupuk keamanan dan kestabilan serantau, satu komitmen yang selari dengan sambutan ulang tahun ke-50 yang disambut pada tahun 2023.
Duta Vietnam ke Malaysia Dinh Ngoc Linh berkata komitmen itu bertepatan pada masanya dan menjadi manifestasi penting untuk kerjasama rapat antara kedua-dua negara dalam dinamik geopolitik yang kompleks hari ini.
Linh turut yakin dengan potensi untuk mengukuhkan lagi hubungan, terutamanya selepas penglibatan diplomatik baru-baru ini yang menyaksikan kedua-dua negara memperbaharu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pertahanan yang telah tamat pada 2018.
“Dalam persekitaran perkembangan rumit serantau dan dunia, kedua-dua negara mengukuhkan kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan menjadi trend yang tidak dapat dielakkan demi untuk keamanan, kestabilan dan pembangunan di rantau ini.
“Hubungan keselamatan antara kedua-dua negara terus diperkukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Oleh itu, saya percaya terdapat ruang yang cukup untuk Vietnam dan Malaysia meningkatkan kerjasama serta melaksanakan perjanjian sedia ada selain meneroka kerjasama masa depan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata MoU itu telah mewujudkan rangka kerja perundangan yang kukuh, meletakkan asas untuk kerjasama berterusan dalam sektor pertahanan dan keselamatan pada tahun-tahun akan datang.
Antara bidang kerjasama yang boleh diteroka melangkaui amalan pertahanan konvensional, termasuk pertukaran delegasi, perundingan, mekanisme dialog, latihan, industri pertahanan, logistik dan perubatan ketenteraan.
“Selain itu, kita juga perlu mewujudkan mekanisme kerjasama antara tentera laut, tentera udara dan pengawal pantai kedua-dua negara, menyelaras langkah pencegahan keganasan dan lain-lain jenis jenayah rentas sempadan, mengukuhkan koordinasi untuk memerangi pengganas dan organisasi reaksioner,” tambah beliau.
Sebagai tambahan kepada usaha dua hala, Linh berkata kedua-dua negara bersedia untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan dan keselamatan dalam rangka kerja ASEAN.
Komitmen itu diperluaskan kepada mempromosikan mekanisme diterajui ASEAN yang memainkan peranan utama dalam memudahkan dialog dan kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN dan rakan kongsi yang lain, kata beliau.
POLITIK, EKONOMI
Mengulas lanjut, Linh berkata perkongsian dalam bidang politik, ekonomi dan keselamatan maritim antara kedua-dua negara bukan sahaja mampu kekal utuh bahkan terus berkembang pesat.
Khususnya dalam arena politik yang menyaksikan kedua-dua negara komited terhadap pelaksanaan Pelan Tindakan (POA) yang direka untuk melaksanakan Perkongsian Strategik bagi tempoh 2021 – 2025.
“Komitmen POA itu akan memacu hubungan Vietnam-Malaysia ke tahap baharu.
“Kedua-dua negara perlu mengekalkan penggunaan mekanisme kerjasama dua hala yang sedia ada secara tetap dan berkesan, termasuk Jawatankuasa Bersama bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik dan Teknologi untuk mengkaji semula pelaksanaan POA dan membincangkan kaedah mengukuhkan hubungan dan pertukaran dua hala, pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” katanya.
Linh berkata pada separuh pertama tahun 2024, satu daripada keutamaan kedutaan adalah untuk mempromosi dan menganjurkan lawatan peringkat tinggi pemimpin parti dan negeri ke Malaysia.
“Pertukaran delegasi peringkat tinggi akan menjadi penggerak untuk mengukuhkan kepercayaan strategik dan memperdalam kerjasama komprehensif antara kedua-dua negara, menjelang ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik pada 2025,” katanya.
Sementara itu, dalam bidang ekonomi, duta itu berkata kedua-dua negara sedang mengintai peluang dalam industri halal untuk menjalinkan kerjasama.
Hanoi ialah rakan dagangan ke-12 terbesar Malaysia di dunia serta rakan dagang keempat terbesar negara di ASEAN selepas Singapura, Indonesia dan Thailand.
Pada 2022, jumlah perdagangan dua hala meningkat 16.4 peratus kepada US$19.44 bilion (RM90.83 bilion) daripada US$16.7 bilion (RM78.03 bilion) pada 2021.
Dari segi pelaburan, Malaysia adalah pelabur ke-10 terbesar Vietnam selepas Singapura dan Thailand.
Mengenai keselamatan maritim, beliau berkata kedua-dua negara mesti meningkatkan kerjasama untuk menegakkan keamanan, keselamatan dan kebebasan pelayaran di Laut Timur.
“Adalah penting untuk mematuhi sepenuhnya Deklarasi Tata Laku Pihak Berkepentingan dan segera memuktamadkan rundingan bagi Kod Tata Laku di Laut Timur (CoC), selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982),” katanya.
HUBUNGAN ANTARA RAKYAT
Hubungan antara rakyat Malaysia dan Vietnam dapat terus diperluas melalui kerjasama berterusan dalam pertukaran berita, sehubungan itu Linh berharap kerjasama antara agensi berita; Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Vietnam (VNA) boleh dipertingkatkan secara korelatif.
Beliau menyuarakan keyakinan bahawa persefahaman dan kesedaran lebih tinggi dalam kalangan rakyat kedua-dua negara dapat dipupuk menerusi maklumat yang tepat pada masanya dan terkini secara serentak di kedua-dua negara.
“Rakyat Vietnam bukan sahaja memerlukan maklumat umum tentang negara dan rakyat tetapi juga mengenai ekonomi terutamanya mengenai sektor halal.
“Saya lihat perlu ada penyampaian maklumat yang tepat dan pelbagai kerana terdapat minat yang semakin meningkat dalam industri Halal di Vietnam dan keperluan untuk menyebarkan maklumat ini secara lebih meluas…,” katanya.
Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan negara Vietnam pada 30 Mac 1973.- BERNAMA
#AirTimes #Malaysia #Vietnam #Semasa