Home Semasa Koo Ham syak kebakaran disebabkan kenyataan sentuh Agama Islam

Koo Ham syak kebakaran disebabkan kenyataan sentuh Agama Islam

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham percaya perbuatan khianat membakar kereta di kediamannya awal pagi tadi dengan menggunakan bahan letupan ‘molotov cocktail’ berpunca daripada cadangannya sebelum ini yang mahukan orang bukan Islam dilantik dalam jawatankuasa bagi mengkaji perundangan Islam.

Menurutnya, beliau percaya pelaku terbabit tidak berpuas hati dengan cadangannya itu.

“Saya tak bersengketa dengan sesiapa. Saya percaya satu-satunya punca berlakunya tindakan yang disengajakan ini adalah susulan kenyataan media saya pada 28 Disember lalu,

“Saya syak itulah yang berlaku, kalau tidak kenapa orang nak bakar kereta dan rumah saya, hendak saya mati dalam rumah untuk bunuh saya,” katanya dalam satu sidang media yang turut disiarkan secara langsung di Facebooknya, hari ini.

Dalam masa yang sama, Koo Ham turut mendakwa, kebencian terhadapnya disebabkan oleh tindakan menghasut yang dilakukan oleh pemimpin PAS dan parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ahli Parlimen dari DAP itu bagaimanapun memaklumkan bahawa beliau memaafkan pelaku terbabit dan meminta mereka yang terlibat agar bertaubat kerana cuba membahayakan nyawa keluarga beliau.

“Saya maafkan sesiapa sahaja yang membakar kereta dan rumah saya, bahkan cuba membahayakan nyawa keluarga jika individu terbabit berbuat demikian kerana diperdaya tuduhan palsu oleh orang lain sehingga sanggup melakukan jenayah ini,

“Mereka yang terpesong, bertaubatlah,” tegasnya.

Koo Ham sebelum ini mengundang kontroversi apabila mencadangkan pakar Perlembagaan bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dun Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Cadangan dikemuka juga dikritik pelbagai pihak, dengan pemimpin PAS dan BERSATU menuduhnya sebagai campur tangan hal ehwal Islam. Pemimpin UMNO juga menyatakan cadangan Ngeh ‘dangkal’ dan ‘tidak berasas’.

Sambil menggambarkan cadangannya diputar belit oleh ahli politik untuk mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam, Ngeh berkata beliau memutuskan untuk memohon maaf dan menarik balik cadangan tersebut.

Awal pagi tadi, media melaporkan rumah Koo Ham dilontar dengan bom botol, menyebabkan kebakaran yang merosakkan 3 buah kereta dan bumbung anjung.

Ketika kejadian Koo Ham dan isterinya dilaporkan tidur. Mereka hanya tersedar apabila dikejutkan oleh pasangan yang lalu di depan rumahnya di Ayer Tawar, Ipoh dan membunyikan loceng.-airtimes.my

#semasa #DAP #PN #airtimes #kebarakan

Related Articles

Leave a Reply