Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat OP MURNI: Bantuan penghantaran makanan diteruskan ke Kampung Embus Maran

OP MURNI: Bantuan penghantaran makanan diteruskan ke Kampung Embus Maran

by Nurulhuda

MARAN, 29 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (12 RAMD) Mekanize telah diaturgerakkan bagi membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) di kawasan Kampung Embus sejak semalam.

Pihak 12 RAMD Mek memaklumkan, anggota diaturgerak bagi penghantaran bekalan makanan ke kampung tersebut yang terputus hubungan ekoran jalan utama telah ditenggelami air akibat banjir.

“Kerjasama bantuan bersama pihak JKM dan APM kepada penduduk setempat telah membantu meringankan beban penduduk kampung tersebut,

“Pasukan sentiasa bersedia memberi bantuan melalui pemindahan mangsa banjir, penghantaran bekalan makanan dan keperluan, perkhidmatan perubatan dan lain-lain bantuan yang diperlukan oleh PBA,” jelas pihak 12 RAMD Mek menerusi hantaran di media sosialnya, malam tadi.

Sehingga jam 6 pagi tadi, seramai 23,095 mangsa daripada 7,399 keluarga masih berlindung di 104 pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir di 4 negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Portal Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, sebanyak 53 PPS masih beroperasi di Kelantan yang menempatkan 19,716 mangsa banjir daripada 6,496 keluarga.

Sementara itu di Terengganu, 3,022 penduduk daripada 810 keluarga berlindung di 37 PPS dengan 2,075 orang daripadanya ditempatkan di 26 PPS di daerah Dungun.

Di Hulu Terengganu, seramai 630 mangsa berada di tiga PPS; Kemaman (51 mangsa, dua PPS); Marang (91 mangsa, satu PPS); Setiu (37 mangsa, dua PPS) dan Kuala Terengganu (138 mangsa, tiga PPS).

Pada masa sama, 10 PPS dibuka di Pahang melibatkan 207 penduduk daripada 60 keluarga dengan 2 PPS dibuka di daerah Jerantut membabitkan 42 orang, dan masing-masing sebuah PPS dibuka bagi daerah Kuantan merekodkan 69 orang; Bera (9), Rompin, (13) serta Maran (17). -airtimes.my

#pertahanan #TDM #banjir #Pahang #airtimes

Related Articles

Leave a Reply