Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF tidak berkompromi kegiatan tipu bida dalam tender pembekalan

MINDEF tidak berkompromi kegiatan tipu bida dalam tender pembekalan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan, terdapat beberapa dokumen berkaitan 4 tender pembekalan barangan dan perkhidmatan yang disiasat telah dirujuk sebagai bahan pembuktian kes.

Kesemua dokumen berkaitan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada Bahagian Undang-Undang MINDEF.

Menurut MINDEF, 4 syarikat yang disenaraikan terlibat dalam perolehan pembekalan barangan runcit dan perkhidmatan penyelenggaraan dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka.

Manakala 3 syarikat pula terlibat dalam perolehan yang dilaksanakan melalui sebut harga yang dibuat oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah MINDEF.

MINDEF berkata demikian bagi mengulas kenyataan MyCC pada Selasa lalu yang mendedahkan 7 syarikat terbabit dengan kegiatan tipu bida dalam 4 tender pembekalan barangan dan perkhidmatan untuk MINDEF, dianggarkan bernilai RM20.8 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail dalam kenyataan berkata, 7 syarikat terbabit saling berkongsi maklumat, menyediakan tender bersama dan menawarkan perjanjian subkontrak sebagai ganjaran.

Mengulas lanjut, MINDEF menegaskan, akan terus komited bagi memastikan semua proses perolehan dilaksanakan secara telus dan mematuhi ketetapan yang dinyatakan dalam pekeliling perbendaharaan yang berkuatkuasa dalam mencegah elemen ketirisan.

“Kementerian ini sentiasa berlandaskan dasar dan polisi untuk melaporkan terus dengan segera kepada Kementerian Kewangan bagi sebarang unsur keraguan atau pemalsuan oleh syarikat selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Perolehan Kerajaan PK8,

“MINDEF juga akan terus mendukung teguh etika tadbir urus dan pengurusan yang telus melibatkan segala aspek perolehan yang dilaksanakan oleh Kementerian,” jelas MINDEF dalam kenyataan, pada Khamis.

Dalam kanyataan yang sama, MINDEF berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh untuk menyalurkan segala maklumat dan maklum balas lanjut yang diperlukan dalam membantu proses siasatan lanjut oleh MyCC.-airtimes.my

#pertahanan #MINDEF #airtimes #tipubida

Related Articles

Leave a Reply