NEW YORK, 20 Dis – Undian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) terhadap resolusi yang diusulkan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membolehkan lebih banyak bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke Gaza, sekali lagi ditangguh.
Menurut maklumat yang diperolehi Agensi Anadolu (AA), Amerika Syarikat (AS) masih belum yakin dengan draf resolusi itu yang sepatutnya diundi pada lewat petang.
“Teks yang dirangka oleh UAE, menggesa penangguhan segera pertempuran untuk membolehkan akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan serta langkah segera ke arah menghentikan permusuhan secara berkekalan,
“Menegaskan semula bahawa semua pihak yang terlibat dalam konflik mesti mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, ia juga meminta agar mekanisme pemantauan PBB dilaksanakan dengan segera,” katanya seperti dilapor Bernama.
Terdahulu pada Selasa, Timbalan Duta AS ke PBB, Robert Wood memaklumkan kepada media bahawa pihaknya masih berusaha menyiapkan teks resolusi itu dengan pemain lain.
AS memveto resolusi Majlis Keselamatan pada 8 Dis yang menuntut gencatan senjata segera untuk menghentikan pertumpahan darah di Semenanjung Gaza ketika jumlah kematian terus meningkat.
Menurut AlJazeera, setakat 17 Disember, hanya 102 buah trak bantuan dan 4 buah tangki minyak telah memasuki Gaza melalui Sempadan Rafah. Selain itu, sebanyak 79 buah trak yang lain memasuki Gaza melalui Sempadan Kerem Shalom. -airtimes.my
#global #Malaysia #PBB #airtimes #Palestin