KUANTAN, 11 OKT – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bagi menyempurnakan perasmian sebuah Memorial memperingati 2 kapal perang Britain HMS Repulse dan HMS Prince of Wales, di Teluk Cempedak, pada Ahad.
Kedua-dua kapal perang British itu ditugaskan untuk memintas armada pencerobohan Jepun ke Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua pada 1941.
Bagaimanapun pada 10 Disember 1941, kapal perang HMS Prince of Wales, kebanggaan Tentera Laut Diraja, dan HMS Repulse, kapal perang British terbesar ketika itu, telah ditenggelamkan di lokasi 61 batu nautika di luar pantai Kuantan, dua hari selepas pencerobohan Jepun ke Tanah Melayu.
Seramai 840 kelasi terkorban dalam kejadian itu termasuk Pegawai Pemerintah HMS Prince of Wales, Kapten John Leach.
Majlis memperingati ulang tahun ke-82 kapal-kapal perang yang ditenggelamkan itu diadakan bersama sokongan Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia dan Tentera Laut Diraja British.
Memorial itu turut mempamerkan sauh, dipercayai dari salah sebuah kapal berkenaan, dihadiahkan kepada Malaysia oleh United Kingdom, yang sebelum ini dipamerkan di Muzium Tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum ini.
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenaan berangkat hadir bersama ke majlis yang diadakan sempena ulang tahun ke-82 karamnya kapal-kapal berkenaan.
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry berkata, tugu peringatan itu akan memberi peluang kepada pelawat untuk merenung tentang betapa besarnya erti kehilangan akibat peperangan.
“Saya harap memorial ini bukan sekadar untuk mengenang 840 orang yang terkorban, tetapi juga sebagai ingatan kepada kita untuk mempelajari sejarah dan melihat masa depan dengan penuh harapan, persefahaman dan rasa hormat antara negara,” seperti dilapor Bernama.
Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih terhadap usaha membangunkan memorial itu khusus bagi memperingati ‘mereka yang berani, dan memberikan sepenuhnya kepada tugas dan tanggungjawab’.
Sementara itu, Terry dalam satu kenyataan kepada media berkata, memorial itu akan memberi peluang kepada pengunjung untuk merenung kembali betapa besar ‘harga’ yang perlu dibayar dalam peperangan.
“Ia adalah satu penghormatan yang sewajarnya kepada anggota yang terkorban bersama kapal, dan juga sebagai peringatan bahawa warisan penting tentera laut seperti ini mesti dilindungi di samping kekuatan hubungan UK-Malaysia,” ujarnya.-airtime.my
#pertahanan #PerangDunia #Britain #Malaysia #tugu #airtimes