KUALA LUMPUR, 6 DIS – Malaysia akan menerbangkan barangan bantuan kemanusiaan siri ke-3 kepada penduduk Palestin di Gaza pada 13 Disember ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, barangan bantuan itu seberat 60 tan iaitu 3 kali ganda daripada penerbangan pertama dan kedua sebelum ini.
“Kementerian Luar akan menghantar penerbangan ketiga pada 13 Disember dan jumlah muatan kali ini agak besar kira-kira 60 tan,
“Penerbangan pertama dan 2 hanya masing-masing 20 tan, ini 3 kali ganda daripada jumlah asal,
“Kutipan (sumbangan) masih berjalan oleh Wanita UMNO. Kita juga telah dan sedang memantau kutipan yang dibuat oleh NGO,” katanya semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin oleh 99 Speedmart Sdn Bhd dan Wanita UMNO Malaysia, hari ini.
Ahmad Zahid menambah, keprihatinan rakyat Malaysia perlu diteruskan dalam memastikan bantuan disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza.
“Kita harap keprihatinan rakyat Malaysia ini dapat kita teruskan. Kita lihat asakan di Selatan Gaza ini amat menyakitkan, dan kezaliman ini masih diteruskan oleh pihak Zionis,
“Kita harus memberikan bantuan berterusan kepada rakyat Palestin yang berada di Gaza yang terus diberi tekanan oleh pihak Israel,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Wanita UMNO Malaysia diwakili Ketua Wanitanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyerahkan sumbangan berjumlah RM621,954.60 kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin.
Manakala, syarikat pasar mini 99 Speed Mart menyerahkan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada tabung yang sama.
Sebelum ini, Malaysia melalui Ops Ihsan telah berjaya membuat penghantaran bantuan ke Gaza dengan penghantaran pertama melibatkan 20 tan barangan keperluan perubatan, barangan bayi dan makanan yang tiba di Gaza pada 10 November lepas.
Kemudian, ia diikuti penghantaran kedua membawa 16 tan barangan bantuan yang tiba di Mesir pada 11 November lalu. -airtimes.my
#semasa #Malaysia #Palestin #Gaza #airtimes