Home Pertahanan dan Keselamatan Kapal OPV1 APMM antara 15 aset sertai EKSESAIS MARITIM PERKASA BARAT 2023

Kapal OPV1 APMM antara 15 aset sertai EKSESAIS MARITIM PERKASA BARAT 2023

by Nurulhuda

PULAU PINANG, 30 NOV – Kapal Peronda Luar Persisir Pertama (OPV1) antara 15 buah Kapal Maritim (KM) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menyertai EKSESAIS MARITIM PERKASA BARAT Siri 6/2023.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pihak TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kini sedang melakukan fasa sea trial terhadap OPV1 dan ia kini belayar memasuki kawasan Pulau Pinang bersama-sama kapal lain.
Tegasnya, penyertaan kapal berkenaan dalam eksesais yang dilaksanakan oleh APMM ini adalah bertepatan dengan matlamat bagi menguji kemampuan sepenuhnya OPV1 sebelum ia diserahkan secara rasmi kepada APMM.
Tambah beliau, kapal yang berada dalam fasa sea trial itu bakal diuji selama empat hari bermula 28 November hingga 1 Disember dengan menempuh jarak sepanjang 630 batu nautika perairan Selat Melaka bermula dari Pelabuhan Klang dan akan tiba di Pulau Langkawi.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja di atas KM Pekan bagi memantau kesiagaan semua kapal dan anggota-anggota penguat kuasa yang terlibat dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.
APMM menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, eksesais ini turut melibatkan 500 pegawai dan anggota serta Kapal Ronda Kelas NGPC, Kelas GAGAH, Kelas RAMUNIA, Kelas NUSA termasuk Kelas TUGAU.

“Selain itu 2 pesawat udara milik APMMi iaitu helikopter AGUSTA WESTLAND AW 139 dan AS 365 N3 DAUPHIN turut diatur gerak dalam eksesais ini,” jelas hantaran itu lagi.

Eksesais ini menjalani 3 fasa latihan bermula dengan Fasa Pelabuhan iaitu sesi taklimat siri latihan dan sesi ‘Table Top’ yang dilaksanakan pada 26 dan 27 November lalu di Klang Selangor.

“Selepas fasa berkenaan, pegawai dan anggota akan melalui fasa kedua iaitu Fasa Laut di mana aset-aset yang terlibat akan melakukan pelayaran dari Perairan Klang ke Pulau Langkawi bermula 28 November hingga 1 Disember 2023,

“Fasa terakhir merupakan Fasa Penutup Eksesais iaitu sesi Post Exercise Debrief (PXD) akan dilaksanakan di Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Langkawi pada 2 dan 3 Disember 2023 bagi melihat pencapaian dan penambahbaikan untuk edisi akan datang,” ujar APMM.

Eksesais yang bermula sejak 26 November lalu itu, adalah bagi memberi pengalaman serta menguji tahap kecekapan setiap anggota dalam menghadapi cabaran dan rintangan yang bakal ditempuhi sepanjang menjalankan peranan menjaga keselamatan perairan negara khususnya di Selat Melaka.

“Eksesais ini mampu menjadi medan ujian dan mencipta penanda aras bagi memastikan setiap aset-aset APMM sentiasa bersiap siaga dalam apa juga keadaan,

“Ia dilaksanakan selama 8 hari dan dijangka selesai pada 3 Disember depan di Langkawi,” ujar APMM lagi. -airtimes.my

#APMM #keselamatan #airtimes

Related Articles

Leave a Reply