KUALA LUMPUR, 23 NOV – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan ke atas kemudahan kesihatan di Semenanjung Gaza oleh Pasukan Pendudukan Israel (IOF) sehingga mengorbankan beratus-ratus mangsa.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan malam tadi berkata, Malaysia juga mengecam serangan terkini ke atas sebuah kemudahan perubatan di bawah Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) dan Hospital Indonesia di Gaza.
“Sasaran berterusan Israel terhadap kemudahan penjagaan kesihatan dan kemudahan penting yang lain adalah suatu pelanggaran terang-terangan terhadap Konvensyen Geneva 1949,
“Ini jelas menunjukkan cubaan rejim ini untuk menghapuskan sepenuhnya penduduk Palestin,
“Tindakan keji ini oleh IOF harus dihentikan serta-merta. Jumlah kematian yang semakin meningkat dan penderitaan penduduk Gaza yang sangat teruk menuntut tindak balas kukuh dengan segera,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, kenyataan itu memaklumkan, Malaysia menyahut seruan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk usaha kolektif bagi mengakhiri konflik dan malapetaka kemanusiaan di Gaza.
“Malaysia juga mengulangi seruannya kepada masyarakat antarabangsa untuk mempertanggungjawabkan rejim Zionis atas tindakan tidak berperikemanusiaan ini dan menuntut Israel menghormati kemudahan penjagaan kesihatan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa,
“Malaysia terus berpegang teguh pada pendiriannya yang berprinsip bahawa penduduk Palestin berhak memiliki negara sendiri yang bebas dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967 dengan Baitulmuqadis Timur sebagai ibu negaranya,” menurut Wisma Putra lagi.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 14,128 rakyat Palestin dibunuh dalam serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu termasuk 5,600 kanak-kanak dan 3,500 wanita.
Selain itu, 218 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh di Tebing Barat. -airtimes.my
#global #airtimes #Malaysia #Palestin #SaveGaza