KUALA LUMPUR, 21 NOV – Kelantangan Malaysia yang mengutuk serangan rejim Zionis Israel terhadap Gaza di Palestin tidak menjejaskan ekonomi dan pelaburan syarikat asing khususnya dari Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan negara-negara eropah ke Malaysia masih lagi bersandarkan faktor politik negara yang stabil dan ekonomi Malaysia yang jelas.
“Ada yang melahirkan kebimbangan bahawa sikap tegas kita berdepan dengan AS dan negara-negara Eropah itu, akan menjejaskan kedudukan ekonomi,
“Tentulah tanggungjawab kita untuk memantau terus. Tetapi setakat ini, saya ingin memberikan penjelasan dan jaminan bahawa (kami telah) menemui beberapa pelabur terutama di AS,
“Nampaknya keutamaan masih diberikan berdasarkan politik yang stabil, dasar ekonomi yang jelas, dan kaedah mempercepatkan proses kelulusan yang sekarang dikendali oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),
“Soal hubungan perdagangan setakat ini tak menjejaskan sama sekali. Mereka tahu pendirian kita dan mereka ikuti kenyataan kita,” katanya ketika sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai hasil mesyuarat dan jumlah pelaburan ke dalam negara sepanjang lawatan ke Persidangan Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkta, setiap ruang dan peluang di persidangan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh wakil kerajaan termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz untuk menjelaskan komitmen Malaysia ketika pertemuan dengan pelabur asing, yang membawa hasil pelaburan langsung asing berjumlah RM63.02 bilion.
Dalam masa yang sama, Anwar berkata, pada sidang akhir APEC tersebut, beliau menyatakan dengan tegas bahawa serangan ke atas Palestin perlu dihentikan segera dan tidak boleh ditangguhkan lagi.
“Saya menyatakan kepada mereka (termasuk Presiden AS, Joe Biden) bahawa ada pemasalahan, di mana kita diminta mengutuk Russia dalam soal Ukraine tetapi membisu dengan pembunuhan kejam, keganasan yang saya sebut sebagai ‘atrocities’,
“Dan saya sebut perkataan yang agak penting – jangan lagi orang barat menganggap hegemoni kolonial menentukan dasar dan bentuk tindakan kita maka saya menyatakan mereka tidak boleh memaksa untuk menentukan pendirian kita, di situ saya nyatakan kita mesti sekurang-kurangnya menghentikan serangan sekarang – ‘end stop now’ ,” ujarnya lagi. -airtimes.my