KUALA LUMPUR, 21 NOV – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang memuktamadkan draf akhir Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) mengikut dasar dan perkembangan semasa industri.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, perkara itu dilakukan berdasarkan perkembangan semasa industri bagi memastikan kandungannya kekal relevan dalam tempoh pelaksanaannya kelak serta berupaya membawa impak yang besar kepada pihak berkepentingan terutamanya pemain industri pertahanan.
“DIPKN adalah inisiatif susulan kepada Kertas Putih Pertahanan (KPP), dan MINDEF sentiasa komited dalam memastikan semua inisiatif KPP dilaksanakan sebaik mungkin mengikut perancangan,
“Namun begitu, industri pertahanan dan keselamatan adalah sektor yang sangat dinamis yang dilihat melalui perubahan yang cepat dalam teknologi, ekosistem, cara perolehan serta pelaksanaan projek terbaru,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan Komander (Bersara) Nordin Ahmad Ismail TLDM (Lumut) berhubung status terkini pelaksanaan DIPKN yang sudah tertangguh begitu lama.
Sementara itu, Adly turut menjelaskan, pelancaran New Industrial Master Plan 2030 (NIMP2030) oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), telah membawa senario baharu kepada proses pembangunan industri pertahanan negara.
“Objektif industri pertahanan dan keselamatan bukan hanya terhad bagi menyokong keupayaan kesiagaan pertahanan dan keselamatan negara, malahan sektor ini perlu peka dengan perkembangan terkini dalam sektor komersial seperti kemajuan dalam teknologi hijau, penekanan prinsip-prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kecerdasan buatan (AI),
“Elemen-elemen ini harus diintegrasikan sebaiknya oleh industri pertahanan dan keselamatan agar dapat menjadi sektor baru yang dapat mendukung pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya lagi. -airtimes.my