DUBAI 20 NOV – Pameran Udara Dubai 2023 (Dubai Air Show) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menghimpunkan lebih 1,400 syarikat pertahanan terkemuka menjadi sebaliknya bagi Israel apabila menarik diri pada saat akhir.
Firma Israel mula mengambil bahagian secara rasmi dalam pameran ini pada edisi 2020 lalu apabila menjalin hubungan dengan UAE.
UAE menjadi negara Arab paling berpengaruh yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel dalam tempoh 30 tahun lalu menerusi Perjanjian Abraham yang ditaja Amerika Syarikat pada tahun 2020.
Walaupun tiada kenyataan rasmi mengenainya tetapi boleh difahami ia ada kaitan dengan konflik yang sedang berlaku di Gaza.
Tambahan pula, untuk hadir pada pameran itu di sebuah negara Arab di tengah-tengah kancah akan memberi gambaran bercanggah.
Ruang pameran dua firma negara itu, Israel Israel Aerospace Industries (IAI) dan Rafael Advanced Defence Systems kosong yang sepatutnya diisi dengan pameran kelengkapan terkini.
Bagaimana pun, Rafael masih menaja mesyuarat komander tentera udara yang akan diadakan di sebuah hotel mewah di Dubai.
Namun, firma pertahanan elektronik Israel, Elbit System menerusi anak syarikatnya di UAE, Elbit Systems Ltd menyertai Pameran Udara Dubai.
Elbit System Ltd yang ditubuhkan pada tahun 2021 merupakan kerjasama kedua-dua negara
bagi memacu industri pertahanan khususnya elektronik untuk angkatan tentera UAE.
Tahun lalu syarikat ini diberi kontrak bernilai AS$53 juta untuk pemasangan sistem peperangan elektronik dan alat-alat lain bagi pesawat tangki A330 milik Tentera Udara UAE.
Pameran Udara Dubai antara pameran dan pertunjukan udara terbesar serta paling berjaya di dunia selain menghubungkan profesional industri aeroangkasa global.
Ia digambarkan sebagai bayangan kepada masa depan industri apabila mengetengahkan pesawat komersial dan ketenteraan selain teknologi mutakhir.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan kira-kira 1,400 pempamer daripada 95 negara dengan lebih 180 buah pesawat serta 9 forum industri.
Kuasa membeli yang tinggi dalam kalangan negara-negara Teluk menyebabkan firma-firma pertahanan tidak ragu-ragu untuk hadir melabur jutaan ringgit menyertai pameran tersebut.
Dalam pada itu, Pameran Udara Dubai menyaksikan transaksi jualan yang besar apabila syarikat penerbangan jarak jauh Emirates memeterai pembelian pesawat bernilai AS$52 bilion dengan Boeing.
Perjanjian itu akan menyaksikan syarikat penerbangan tersebut membeli 90 pesawat Boeing 777, 55 daripadanya 777-9 varian dan 35 daripadanya 777-8s.
Manakala syarikat penerbangan tambang murahnya, FlyDubai, membuat tempahan AS$11 bilion bagi pembelian 30 pesawat Boeing 787-9 Dreamliners. – airtimes.my
#AirTimes #Global