KUALA LUMPUR, 10 NOV – Kerajaan bersetuju untuk berikan tol percuma pada 11 dan 12 November (esok dan lusa) kepada para pengguna lebuh raya sempena Deepavali yang akan disambut pada Ahad ini.
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi memaklumkan, pelaksanaan pemberian tol percuma ini bermula pada 11 November 2023 (Sabtu) jam 12.01 pagi sehingga 12 November 2023 (Ahad) jam 11.59 malam.
“Pengecualian tol percuma selama 2 hari itu melibatkan semua jenis kenderaan di semua lebuh raya, kecuali 2 plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Johor,
“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan semua rakyat Malaysia, terutama masyarakat India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali,
“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Alexander berkata, pemilihan tarikh pemberian tol percuma berkenaan, yang dipersetujui kementeriannya dan syarikat konsesi bertujuan mengelak penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar, dengan anggaran jumlah trafik pada dua hari itu adalah sebanyak 11.8 juta kenderaan,
Ia juga dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan, seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas dan keperluan logistik lain, membabitkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya.
“Dengan pelaksanaan tol percuma ini, diharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini, selain merancang perjalanan dengan sebaiknya.
“Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan,
“Aspek keselamatan dan pemanduan selamat perlu dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Deepavali ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, Alexander turut mencadangkan pengguna lebuh raya menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMtrafik secara berkala. -airtimes.my
#semasa #Malaysia #Deepavali #airtimes